Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (PESENANG) tidak mengenakan sebarang yuran perpindahan buat mana-mana pemainnya yang sudah pun berhijrah ke pasukan baru untuk saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini biarpun ada antara mereka dianggarkan bernilai RM10,000.

Inisiatif PESENANG itu dilihat mampu membawa kebaikan kepada pemain, khususnya buat mereka yang menyarung jersi kebangsaan dalam mencari pengalaman bersama pasukan baru.

Dalam erti kata lain, situasi menang-menang memandangkan kebanyakan pemain kebangsaan yang dihimpunkan dalam pasukan utara itu kini bebas mencari pasukan lain tanpa dikenakan sebarang yuran perpindahan.

"Kami mengharapkan pemain Pulau Pinang terutama pemain pelapis dapat mengembangkan bakat, mencari pengalaman baru dan permainan yang banyak di peringkat Perdana," kata jurulatih Penang Black Panthers, Ahmad Sufian Napiah, dalam perinciannya bersama wakil Nadi Arena, Adam Zamri.






Penang Black Panthers pula mengambil pendekatan berlainan musim ini dengan cuba mengetengahkan muka baru.

Ia juga sebahagian daripada perancangan selepas mereka kehilangan dua tonggak, Azlan Alias dan Syahir Rosdi, yang sebelum ini menjadi antara pemain utama yang membantu mereka mendakap kejuaraan liga 2018.

"Penang Black Panthers akan menggunakan pemain bawah 21 tahun pada tahun ini.

"Hanya dua pemain senior dipertaruhkan di bahagian tekong termasuk Syukri Hassan yang akan menggalas utama dalam STL 2020," tambahnya.

Selain nama-nama besar dan berpengalaman, kelibat pemain muda yang berasal dari Pulau Pinang, Muhd Faisal Mohd Fuad, pula akan membuat penampilan pertama dalam liga kompetitif itu bersama Johor Tigris.