Penang Black Panthers menamatkan aksi minggu pertama Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 selaku pendahulu setelah melakar kemenangan ketiga berturut-turut, hari ini.

Pasukan bimbingan Helmi Ismail itu menjadikan Terengganu Turtles sebagai mangsa terbaru setelah mudah menjinakkan lawan dari Pantai Timur itu 2-0 (21-12, 21-17) di Gem In Mall, Cyberjaya.

Gandingan dua tonggak kebangsaan, Syahir Rosdi dan Azlan Alias, bersama-sama Zaim Razali nyata terlalu ampuh untuk disaingi Irsyad Aziz, Muzhafar Daimin dan Fadzli Roslan yang akur tewas buat kali kedua berturut-turut.

Bagi Helmi, beliau menegaskan ia cukup penting untuk pasukannya mencipta pecutan awal mengambil kira intensiti saingan yang pastinya jauh lebih mencabar selepas ini.

“Pemain-pemain menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan gelanggang baru ini dengan cepat dan cukup baik, itu memberi sedikit kelebihan kepada kami kerana pasukan lain masih bergelut.

"Kami perlu memanfaatkan sebaik mungkin peringkat awal saingan ini untuk mencipta kemenangan demi kemenangan dan menjarakkan diri daripada pencabar lain,” katanya.

Sementara itu, gandingan trio Farid Aziz, Yuslie Jusoh dan Aidil Aiman Azwawi tampil cemerlang untuk membantu Kelantan Warriors mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Johor Tigris 2-0.

Mereka tidak bermasalah untuk melakar kemenangan mudah 21-15, 21-12 ke atas Johor Tigris yang diketuai apit kanan kebangsaan, Noraizat Nordin.

“Sebelum perlawanan, kami berasakan peluang menang dengan Johor seimbang tetapi pemain menunjukkan keyakinan tinggi untuk menang dengan selesa.

“Kami bersedia lebih awal daripada segi mental dan fizikal dan itu banyak membantu mereka untuk tampil yakin,” ujar jurulatih Kelantan Warriors, Roslan Ismail.

Dalam satu lagi aksi, Melaka Titans diketuai Zarlizan Zakaria bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut untuk melakar kemenangan sulung dengan menundukkan PDRM Defenders 2-0 (21-18, 21-14) manakala Perak Bison turut mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0 (21-12, 21-14).