Penang Black Panthers mengesahkan kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) 2017 buat kali kedua berturut-turut selepas merekodkan kemenangan ke-10 musim ini dengan menundukkan Terengganu Turtles 2-0 dalam aksi di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, sebentar tadi.

Kecemerlangan Penang Black Panthers musim ini yang hanya diganggu kekalahan kepada seteru dari Pantai Timur itu dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, namun selebihnya trio yang dibarisi Syahir Rosdi, Zaim Razali dan Azlan Alias itu tiada masalah untuk menambah mata untuk mencengkam persada carta.

Terengganu Turtles membuat rombakan dengan mempertaruhkan Ridaudin Ghani, Irsyad Faiz Aziz dan Azwan Muhrim sambil Hanafiah Dollah sekadar dalam senarai simpanan untuk Black Panthers tenang menguasai set pertama.

Keghairahan wakil Pulau Pinang itu untuk mengubat duka sedikit terencat dalam set kedua apabila Terengganu kembali memberi saingan sengit. Bagaimanapun, situasi itu tidak mengubah kedudukan Black Panthers untuk melunaskan misi lebih besar apabila mengesahkan kejuaraan STL 2017 dengan kemenangan mutlak 21-15, 25-23.

Sementara itu, dalam satu lagi pertembungan, Kelantan Warriors turut mencatat kemenangan kelima musim ini selepas membenam ATM Guardians 2-0.