STL: Penang Black Panthers mudah atasi KL Thunders

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2017 907
STL: Penang Black Panthers mudah atasi KL Thunders
Penang Black Panthers terus mempamerkan persembahan cemerlang dengan merekodkan kemenangan kelima ketika menundukkan pesaing terdekat, Kuala Lumpur Thunders,
dalam Liga Sepak Takraw (STL), hari ini.


Kuala Lumpur Thunders bertemu Penang Black Panthers di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya untuk terus memberikan tentangan kepada pendahulu liga, Terengganu Turtles.

Kedua-duanya ternyata memberikan persembahan yang hebat apabila perlawanan seimbang buat kedua-dua pasukan sejak dari awal permainan dan hanya satu mata memisahkan KL Thunders dan Black Panthers sehingga penghujung set pertama sebelum Black Panthers berjaya memenanginya 25-24.

Kemenangan itu memberikan semangat buat Black Panthers untuk meneruskan momentum pada set kedua, sekaligus merakamkan kemenangan 21-16.

Sementara itu, Terengganu Turtles mengekalkan rentak kemenangan bagi menghuni takhta liga selepas berhempas-pulas menundukkan Perak Bison.

Keputusan jurulatih Terengganu Turtles, Rosmadi Ghani, untuk tidak membariskan killer utama, Hanafiah Dollah, di samping kecederaan yang dialami Fadzli Rosli ketika menentang KL Thunders semalam menjadi punca kem Turtles goyah pada peringkat awal saingan.

Dalam set pembukaan, tekong Perak Bison, Zulfikar Mat Amin, mengetuai tuaian mata dan membantu untuk meraih kemenangan set pertama 21-12.

Menyedari Turtles di ambang kekalahan, Rosmadi akhirnya memasukkan perejam negara, Hanafiah, selain menukar tekong utama dengan memasukkan Zulkifli Razak.

Percaturannya ternyata membuahkan hasil apabila Turtles bangkit dalam dua set berikutnya, sekaligus merekodkan kemenangan 2-1 menerusi keputusan 22-20, 21-17.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen