Penang Black Panthers kini berada di landasan tepat dalam usaha mempertahankan kejuaraan selepas menundukkan KL Thunder 2-0 dalam kempen pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang tadi.

Black Panthers bermula garang tatkala Zaim Razali, Said Ezwan Said De dan 'killer' kebangsaan, Azlan Alias, mudah mendahului 6-1 walaupun Thunder yang menghuni tangga kelima liga ingin mengukuhkan kedudukan untuk melayakkan diri ke Piala Juara-Juara selepas tamat saingan liga.

Thunder dibarisi Aizat Azmi, Amirul Zazwan Amir dan Hanafiah Dolah cuba untuk bangkit memberi cabaran buat lawan yang merupakan juara bertahan dan pendahulu liga, namun situasi sebaliknya berlaku apabila Black Panthers menamatkan set pertama 21-14.

Set kedua menyaksikan Thunder seperti kehilangan arah apabila lebih cepat memberikan mata mudah buat lawan menerusi deretan kesilapan.

Sedar dengan kegagalan Hanafiah yang sering menyaksikan libasannya dinafikan, Black Panthers pantas menggunakan kesempatan itu untuk menamatkan set kedua 21-9, sekali gus mengukuhkan kedudukan dengan 16 mata.