Juara bertahan, Penang Black Panthers, dilihat sudah menemui semula momentum mereka apabila melakar kemenangan keempat berturut-turut dan yang kelapan dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 dengan menewaskan ATM Guardians 2-0, hari ini.

Kemenangan dalam aksi pertama pusingan kedua itu bukan sahaja menyaksikan Black Panthers membalas dendam kekalahan 0-2 kepada pendahulu liga itu dalam aksi pusingan pertama pada 14 Oktober lalu tetapi dalam masa sama merampas semula kedudukan teratas STL Premier.

Kedua-dua pasukan terikat dengan 16 mata selepas 10 perlawanan tetapi Penang Black Panthers mempunyai kelebihan menerusi pungutan mata set.

Dalam aksi di Gem In Mall, Cyberjaya itu , Black Panthers yang menurunkan regu utama mereka dalam kelibat Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali tidak berdepan masalah besar untuk menang set pertama 21-10.

Harapan untuk menyaksikan ATM Guardians kembali dengan permainan lebih kemas dalam set kedua berkecai apabila trio Hairul Hazizi Haidzir, Norfaizzul Razak dan Abdul Muhaimi Che Bongsu dilihat bergelut untuk mengembalikan serangan dan servis bertenaga Syahir.

Malah, mereka melakukan beberapa kesilapan mudah sebelum tewas 11-21, sekali gus menjadi kekalahan kedua ATM Guardians musim ini.

"Ia satu keputusan yang positif untuk memulakan pusingan kedua dengan kemenangan. Kami tewas dua kali dalam pusingan pertama, termasuk kepada ATM sendiri," kata Syahir.

"Mungkin sebab kami terlalu bersikap sambil lewa, kami terlupa pasukan-pasukan lain semuanya mahu tewaskan Black Panthers. Jadi, jurulatih ingatkan balik supaya kami tidak terbuai dan kembali kepada prestasi yang ditunjukkan dulu. Lagipun, saya dan Azlan tidak berada dalam keadaan 100 peratus cergas.

"Setiap minggu kami berusaha keras mengembalikan ia ke tahap terbaik, syukur semuanya semakin bertambah baik."

Jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, pula akur pasukannya tewas kepada pasukan yang lebih baik dan menganggap faktor Syahir sebagai salah satu punca kekalahan sambil menyatakan bahawa mereka tidak memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diperoleh.

"Kami juga kurang menyengat ketika serangan dan kami merasai ketiadaan Afifudin (Razali) yang tidak dapat diturunkan kerana penggantungan (ISTAF). Dia antara tunjang utama pasukan ketika menang ke atas Black Panthers dalam pusingan pertama dulu," ujar Aswadi.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi, Kelantan Warriors mengakhiri saingan minggu keempat dengan dua kemenangan setelah membenam Perak Bison 2-1.

Regu Farid Aziz, Aidil Aiman Azwawi dan Wan Naim Izani menang 21-19 dalam set pertama tetapi kecundang 15-21 ketika set kedua kepada trio Yus Hanif Rosli, Azwan Muhrim serta Fadzil Mustapha sebelum mengesahkan kemenangan kelima Kelantan Warriors musim ini dengan menang 21-14 dalam set penentuan.

Terengganu Turtles pula meneruskan kebangkitan mereka dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0 (21-18, 21-13) manakala PDRM Defenders memastikan episod malang Melaka Titans berterusan dengan melakar kemenangan 2-0 (21-9, 21-16) ke atas juara Divisyen Satu 2017 itu.

Keputusan (28 Oktober) :
Kelantan Warriors mng Perak Bison (2-1 : 21-19, 15-21, 21-14)
Penang Black Panthers mng ATM Guardians (2-0 : 21-10, 21-11)
Terengganu Turtles mng Selangor Pistons (2-0 : 21-18, 21-13)
PDRM Defenders mng Melaka Titans (2-0 : 21-9, 21-16)