STL: Penang Black Panthers hampiri kejuaraan

Oleh Penulis Jemputan 23 November 2018 3690
STL: Penang Black Panthers hampiri kejuaraan
Penang Black Panthers menghampiri gelaran juara Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 setelah melakar kemenangan 2-0 ke atas Selangor Pistons di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Kemenangan 21-18, 21-16 dilakar menerusi gandingan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali ke atas Yushairil Amir Yusof, Farhan Adam dan Amyrul Shafiq Shamuddin yang mewakili Selangor Pistons.

Ia menyaksikan pasukan juara bertahan itu melonjak ke tangga teratas dengan baki satu perlawanan. 

Penang Black Panthers kini perlu memenangi aksi terakhir menentang Melaka Titans dengan keputusan straight set dan dalam masa sama mengharapkan pencabar terdekat mereka ATM Guardians tewas sekurang-kurangnya satu set dalam dua baki perlawanan.

Jika berjaya, mereka akan mempertahankan kejuaraan STL Premier buat musim ketiga berturut-turut.  

“Saya belum mahu mengatakan kami sudah semakin hampir (bergelar juara) kerana peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan (Penang Black Panthers dan ATM Guardians).

"Kami masih tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan ini. 

“Kedua-dua pasukan berdepan situasi sama dengan perlu menang melalui keputusan straight set dalam baki perlawanan.

"Ia mengenai siapa yang kurang melakukan kesilapan pada saat-saat genting dan mengambil peluang yang terhidang. 

“Kami sudah melepasi satu halangan, tinggal satu lagi ketika menentang Melaka Titans, Ahad ini.

"Saya tidak mahu menganggap ia sebagai perlawanan mudah. 

"Setiap perlawanan bagaikan final dan kami perlu kekal berada di tahap terbaik untuk memenangi perlawanan tersebut 2-0,” kata jurulatih Penang Black Panthers, Helmi Ismail.   

Sementara itu, kekalahan ke-12 buat Selangor Pistons menyaksikan pasukan itu kekal terperosok di tangga kesembilan dengan 10 mata dan semakin hampir tersingkir ke STL Divisyen Satu, musim depan. 

Jurulatihnya, Amir Bakar, berkata: “Kami berjaya bangkit dalam set pertama walaupun ketinggala 8-4 dan 12-6, kami mengutip sembilan mata berturut-turut dan mendahului 15-12, namun kami banyak melakukan kesilapan di permainan jaring.

"Perejam tidak melakukannya dengan baik, dan balingan daripada apit kiri juga tidak menjadi. Situasi sama berlaku dalam set kedua.”

Selangor Pistons akan menentang ATM Guardians dalam perlawanan terakhir dan Amir berharap pemainnya akan memberikan tentangan sengit dan cuba untuk memenangi perlawanan walaupun ia tidak dapat menyelamatkan kedudukan mereka.
 
Dalam satu lagi aksi, Johor Tigris melonjak ke kelompok empat teratas setelah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Melaka Titans 2-1. 

Regu gandingan Noor Azman Hamid, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin itu tewas set pertama 21-23 kepada Sahidan Ali, Hasif Yusof dan Asyraaf Zawawi sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-16, 21-14. 


Keputusan penuh :
 
Penang Black Panthers mn Selangor Pistons 2-0 (21-18, 21-16)
Johor Tigris mn Melaka Titans 2-1 (21-23, 21-16, 21-14) 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen