Perak Bison berpeluang muncul juara Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2019 selepas muncul juara Divisyen 1 pada 2016.

Keyakinan itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Perak (PERSEDAR), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, dalam majlis pertemuan pemain Perak Bison dengan media dan kumpulan penyokong pasukan itu di Kelab Golf Di Raja Perak (RPGC), Ipoh, petang tadi.

Puhat berkata Perak berada di atas landasan yang betul untuk menyaingi pendahulu, Penang Black Panthers, kerana mengutip sama banyak mata dengan juara bertahan itu.

Malah, tiga pasukan, termasuk ATM Guardians, terikat dengan 20 mata dan terbabit dalam perebutan gelaran.

Begitupun, ATM bermain satu perlawanan lebih daripada Panthers dan Bison setakat ini.

Katanya, kini apa yang perlu dilakukan Perak ialah menang semua baki lima perlawanan dalam sirkit yang akan berlangsung di Ipoh pada minggu ketujuh dan lapan nanti.

Bison akan bertemu Sabah Mountaineers (Jumaat ini), ATM Guardians (Sabtu), Kuala Lumpur Thunder (Ahad) dan Johor Tigris (2 November).

"Jika menang semua empat perlawanan awal, maka perlawanan terakhir yang kebetulan ialah bertemu Penang Black Panthers ibarat perlawanan akhir," kata Puhat yang menjangkakan Black Panthers juga mampu meraih empat kemenangan sebelum pertemuan dengan Perak pada 3 November.

Justeru, beliau berharap penyokong Bison akan membanjiri Stadium Indera Mulia yang boleh memuatkan 3,000 penonton itu untuk menyemarakkan semangat pemain tuan rumah.