STL: PDRM lakar kemenangan sulung

Oleh Penulis Jemputan 5 Oktober 2018 1327
STL: PDRM lakar kemenangan sulung
PDRM DEFENDERS 2 KELANTAN WARRIORS 1

Aksi pembukaan Liga Sepak Takraw (STL) musim 2018 menyaksikan PDRM Defenders meraih kemenangan ke atas Kelantan Warriors, sebentar tadi.


PDRM terdiri daripada Izzat Zainal, Syafiq Rahman dan Hafiz Wahab sementara Kelantan Warriors pula menampilkan Hisyam Mat, Aidil Azwawi dan Naim Wan.

PDRM bermula garang dengan mengutip mata melalui servis dan libasan sebelum Kelantan mencari rentak permainan untuk mengikat perlawanan 6-6.

Saingan sengit ditampilkan kedua-dua pasukan di mana Kelantan mengejar mata demi mata tetapi PDRM lebih cemerlang dan berjaya menang set pertama 21-18.

Kelantan tidak berdiam diri dan memberi saingan sejak awal set kedua dimulakan bagi menghidupkan peluang mereka.

Servis kencang serta kawalan bola yang baik daripada Kelantan memastikan mereka memenangi set kedua 21-14 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Ternyata PDRM dan Kelantan memberikan persembahan yang menarik apabila saling memburu mata untuk mencipta kemenangan.

Sering mengejar mata, Kelantan berpeluang menamatkan permainanan, namun PDRM sentiasa bangkit menyamakan kedudukan sebelum mereka merakamkan kemenangan  23-21.

Keputusan lain:

KL THUNDER 2 JOHOR TIGRIS 0 (21-18, 21-14)

PENANG BLACK PANTHERS 2 MELAKA TITANS 0 (21-12, 21-14)

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen