PDRM Defenders melakar kejutan besar apabila menewaskan pendahulu liga yang juga juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-0 dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) 2018 di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Black Panthers yang kembali merampas kedudukan pendahulu pada minggu lalu setelah mencatat empat kemenangan berturut-turut, diramal tidak berdepan masalah untuk menewaskan PDRM Defenders yang menghuni tangga kelapan liga.

Namun, sebaliknya berlaku apabila Black Panthers yang membariskan regu simpanan, Said Ezwan Said De, Kamal Ishak dan Saiful Azri Shahnon tampil dengan persembahan longlai dan kurang meyakinkan sebelum tewas mudah 11-21, 19-21 kepada trio PDRM Defenders, Shafiq Rahman, Shaifullah Nor dan Syahmi Hussin.

Jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail, menafikan pasukannya memandang enteng cabaran PDRM Defenders dengan merehatkan pemain-pemain utama seperti Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali, sebaliknya menekankan bahawa dia memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk membuktikan kebolehan.

Syahir dan Zaim masuk dalam set kedua manakala Azlan pula tidak diturunkan.

“Kami mahu memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi dan menguji mereka. Saya akui kami tewas kepada pasukan yang bermain lebih baik.

"Kami cuba untuk bangkit dalam set kedua dengan memasukkan Zaim dan Syahir tetapi ia sedikit sukar kerana mereka bertahan dengan baik. Mungkin ketiadaan Azlan juga satu faktor, kami kurang menyengat ketika menyerang,” kata Helmi.

Kekalahan dialami oleh Black Panthers itu membantu ATM Guardians untuk kembali semula ke kedudukan teratas setelah pasukan itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Terengganu Turtles 2-1.