Impian Kelantan Warriors memburu kemenangan dalam aksi sulung berkecai apabila kalah 2-1 kepada pendatang baru, PDRM Defenders, dalam saingan Liga Sepak Takraw ( STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, petang tadi.

Sebagaimana dijangka, Kelantan Warriors membariskan gandingan terbaik yang diketuai tekong, Mohamad Hisyam Mat, apit kanan, Wan Naim Izani Wan Noor dan apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Zawawi.

PDRM Defenders pula menurunkan kapten, Mohd Syafiq Abdul Rahman, Hafiz Wahab (apit kanan) dan Izzat Zainal (tekong).

Dalam set pertama, PDRM Defenders mendahului 13-8 sebelum ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Roslan Ismail, meminta 'time-out' untuk meredakan tekanan pemainnya.

Biarpun Kelantan Warriors cuba mengejar, servis kencang Hisyam yang tersangkut memberikan mata kemenangan 21-18 kepada PDRM Defenders.

Dalam set kedua, Kelantan Warriors yang lambat panas mula mengorak langkah meninggalkan lawan 12- 3 sambil mengintai untuk mengheret PDRM Defenders ke set penentuan.

PDRM membuat pertukaran pertama membawa masuk apit kanan, Shaifullah Nor, dan mengeluarkan Hafiz Wahab untuk kembali beri keyakinan bersaing.

Melalui libasan kencang Naim Izani, Kelantan Warriors berjaya memenangi set kedua 21-14 untuk menyamakan kedudukan 1-1, sekali gus membawa permainan ke set penentuan.

Dalam set penentuan, Naim Izani mengalami sedikit kecederaan ketika permainan terikat 5-5. Namun, dia dapat meneruskan permainan dengan variasi libasan menarik.

Libasan Saifullah yang keluar gelanggang membolehkan Kelantan Warriors mendahului 11-8 sebelum mereka bertukar gelanggang.

Biarpun Kelantan Warriors hanya memerlukan satu mata untuk menamatkan permainan, namun ketenangan pemain PDRM Defenders jelas terserlah untuk bangkit mengikat mata 20-20.

Usaha PDRM Defenders untuk mencipta kejutan berhasil apabila berjaya mendapat dua mata mudah untuk menamatkan permainan 23-21.

Tekong utama, Mohamad Hisyam, berkata nasib dan rezeki tidak memihak kepada regunya sambil mengakui mereka telah melakukan segalanya untuk memburu kemenangan pertama.

"Kami telah mencuba yang terbaik, namun rezeki lebih berpihak kepada PDRM Defenders.

"Lupakan kekalahan ini kerana esok kami perlu bangkit untuk mencipta kemenangan ke atas Melaka Titians," katanya.