Penang Panthers mencapai misi pentingnya untuk memastikan dua kemenangan minggu kelapan Liga Sepak Takraw (STL) 2016 apabila menumpaskan Melaka Titans 21-16, 22-20 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, hari ini.

Setelah meranapkan rekod tanpa kalah Terengganu Turtles, Jumaat lalu, skuad Mohd Helmi Ismail itu kini kukuh di posisi kedua sambil mengumpul 20 mata, kurang dua mata di belakang pendahulu carta mata Divisyen Perdana itu.

Tekong Syahir Rosdi, perejam Kamal Ishak/Azlan Alias dan pengumpan Suhairi Sulaiman disaingi 54 minit sebelum menjinakkan Titans (Sahidan Ali, Azwan Yahya dan Zarlizan Zakaria) yang bergelut untuk kekal dalam divisyen ini dengan baki dua perlawanan.

Johor Tigris pula menyambar dua mata liga apabila menang 21-18, 21-11 selepas 46 minit, sekali gus melonjak ke tangga kelima carta gara-gara pengadilan yang kurang memuaskan sehingga menunda hajat Kuala Lumpur Thunder ke separuh akhir ke minggu depan.

Fokus Ahmad Aizat Nor Azmi, Zamree Dahan dan Amirul Zazwan Amir jelas terganggu dan seolah-olah enggan lagi bersaing, lantas memudahkan tugas Amirul Asyraaf Khairul, Norhaffizi Razak dan Lutfil Hadi Azmi menang untuk mengumpul 10 mata.

Negeri Sembilan The Jangs membayangkan kemampuan sebagai pencabar terdekat Selangor yang masih menerajui carta mata Divisyen Satu bagi minggu keempat, apabila menumpaskan Labuan 21-15, 21-19 dalam perlawanan kelapan mereka.

Noramizi Nordin, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Shahril Nasruddin hanya memerlukan 40 minit untuk meraih kemenangan ketujuh mereka sambil melonjak mengikat 14 mata dengan pendahulu itu tetapi dipisahkan jurang set.

Selangor (Noor Azman Hamid, Shafirul Nizam Zainal dan Farhan Adam) pula melalui jalan berliku untuk mengukuhkan status itu apabila diheret sehingga 69 minit sebelum menang 21-17, 18-21, 21-5 terhadap Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) B.

Kedua-duanya kini berpeluang lebih cerah untuk dinaikkan ke Divisyen Perdana 2017 sebagai juara dan naib juara Divisyen Satu, namun kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak boleh diperkecilkan sebagai pesaing terbaharu.

Bangkit daripada kalah set pertama, regu Normanizam Ahmad, Shaifullah Nor dan Nazri Hafiz Najib mengharungi 74 minit untuk menumpaskan Pahang 16-21, 21-15, 21-19 manakala Putrajaya membenam Sabah 21-13, 21-9 selepas bertarung 62 minit.