Penang Panthers menebus kehampaan kalah tipis kepada pendahulu Liga Sepak Takraw (STL) 2016, Terengganu Turtles, semalam dengan bangkit membenam Melaka Titans 21-17, 22-20, hari ini.

Tekong Syahir Rosdi, perejam Kamal Ishak dan pengumpan Suhairi Sulaiman menumpaskan Sahidan Ali, Amirul Asyraf Idris dan Zarlizan Zakaria untuk memastikan kemenangan kelima Panthers di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor dan kekal di tangga kedua dengan 10 mata.

Jurulatih, Mohd. Helmi Ismail, membuat keputusan drastik merehatkan apit kanan utama, Azlan Alias, bagi memberi laluan kepada Kamal bergandingan dengan tekong dan apit kiri yang ditewaskan Turtles 15-21, 21-14, 19-21 di depan hampir 2,000 penonton semalam.

Kuala Lumpur Thunder pula membuat lonjakan besar ke tangga ketiga carta dengan lapan mata selepas menewaskan Johor Tigris 21-9, 15-21, 21-18 dalam perlawanan yang memakan masa sejam, malah mengambil alih posisi milik Kedah Eagles.

Kejayaan Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi, Zamree Dahan/Hafiz Rahman dan Amirul Zazwan Amir ke atas Haidzir Rashid, Norhaffizi Razak dan Lutfil Hadi Azmi itu menyusuli kejayaan menumpaskan ATM Guardians 21-19, 21-16 semalam.

Perak merampas teraju Divisyen Satu dengan mencipta kejutan apabila menumbangkan pasukan pilihan, Selangor, 21-17, 19-21, 21-19 sementara dua regu kebangsaan, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) turut mencapai kemenangan sulung.

Regu Meor Zulfikar Mat Amin, Fadzil Mustafa dan Hafiz Zulkifli memerlukan 70 minit untuk memastikan kemenangan perit dan dua mata liga daripada Noor Azman Hamid, Shafirul Nizam Zainal/Najib Rahman dan Muqlis Borhan, menyusuli langkah kanan menewaskan Perlis semalam.

Perak kini memintas Putrajaya (dua mata) yang tidak beraksi hari ini dengan mengumpul empat mata manakala Negeri Sembilan The Jangs dengan dua tonggak kebangsaan yang dikecewakan Selangor semalam, bangkit menumpaskan Perlis 21-13, 21-14.

PSM A (Said Ezwan Said De, Ridaudin Ghani dan Shakirin Nasir) diheret Labuan ke set penentuan sebelum menang 22-20, 17-21, 21-14 manakala PSM B (Iskandar Zulkarnain Salim/Faiz Roslan, Nazirul Akmal Rahman/Nashriq Shahhizi Noor Rizan, Azmi Abd. Kadir) mengatasi Sarawak 21-10, 21-10.