Negeri Sembilan Antlers memastikan kedudukan mereka selaku pendahulu Divisyen Satu, Liga Sepak Takraw (STL) tidak tergugat buat minggu kedua berturut-turut meskipun rekod tanpa kalah mereka dicalar oleh pasukan Sabah Mountaineers.

Mengimbau semula perjalanan minggu kedua yang menutup tirai hujung minggu lalu, pasukan bimbingan Shahir Nasrudin itu membuka tirai dengan kemenangan 2-0 (21-16, 21-18) ke atas salah satu pasukan pilihan, Putrajaya Cyborg, Jumaat lalu.

Mereka kemudian dilihat menghampiri kemenangan kelima berturut-turut apabila memenangi set pertama ke atas Sabah Mountaineers, namun terpaksa akur dengan kekalahan setelah pasukan Borneo itu bangkit menterbalikkan keputusan untuk menang 2-1 (14-21, 21-9, 21-15).

Negeri Sembilan Antlers, bagaimanapun, kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan PSM Mavericks 2-0 (21-16, 21-14), sekali gus kekal menerajui liga dengan 10 mata daripada enam perlawanan dan hanya dipisahkan menerusi beza set ke atas pendatang baru, Masum-UPM dan Sabah Mountaineers.

Dalam pada itu, Masum-UPM membuktikan cabaran mereka tidak boleh dipandang enteng tatkala mereka terus mencuri tumpuan dalam penampilan sulung apabila melonjak ke tangga kedua liga selepas merakamkan lima kemenangan berturut-turut.

Pasukan yang diperkuatkan dengan bekas pemain kebangsaan, Suhairi Sulaiman, itu memenangi ketiga-tiga perlawanan pada minggu kedua -- bermula dengan memberikan Sabah Mountaineers kekalahan pertama musim ini menerusi kemenangan 2-1 (21-14, 18-21, 21-5) dan kemudian menewaskan PSM Mavericks 2-0 (21-15, 21-19), disusuli kemenangan ke atas Perlis Vipers 2-1 (21-18, 19-21, 21-17).

Sementara itu, Sabah Mountaineers memastikan mereka tidak tercicir daripada kelompok tiga teratas menerusi kemenangan 2-0 (21-12, 21-19) ke atas Sarawak Hunters, sekali gus menjadikan pertarungan tiga penjuru bagi memburu kejuaraan STL Divisyen Satu.

Setelah tamat enam perlawanan dalam saingan yang menuju ke minggu akhir itu, hanya Perlis Vipers dan Sarawak Hunter masih belum mencatatkan sebarang kemenangan.