STL: Negeri Sembilan Antlers juara Divisyen Satu

Oleh Penulis Jemputan 26 November 2018 3047
STL: Negeri Sembilan Antlers juara Divisyen Satu
Negeri Sembilan Antlers muncul juara Sepaktakraw League (STL) Divisyen Satu 2018 setelah unggul menamatkan saingan dengan catatan lapan kemenangan dalam sembilan perlawanan. 

Pasukan bimbingan Mohd Isa Sidek itu sudahpun mengenggam kejuaraan menerusi kemenangan ke atas Pahang Mammoth pada Sabtu dan sekadar turun untuk melengkapkan jadual pertandingan menentang Kedah Eagles hari ini.
  
Bagaimanapun, mereka tetap tampil dengan kekuatan penuh dan berjaya melakar kemenangan keempat berturut-turut apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Kedah Eagles 2-1 (20-22, 21-18, 21-14). 

Kejayaan itu menyaksikan Negeri Sembilan Antlers bukan sahaja layak beraksi di STL Premier buat pertama kali pada musim depan tetapi turut layak ke saingan Piala Juara-Juara STL yang akan berlangsung bermula 7 Disember depan bersama-sama enam pasukan teratas STL Premier. 

Selaku juara, Negeri Sembilan Antlers membawa pulang RM12,000 dan lebih manis buat pasukan itu, jurulatih mereka Mohd Isa Sidek dinobatkan sebagai jurulatih terbaik manakala apit kanan, Khairol Zaman Hamir Akhbar dinobatkan sebagai apit kanan terbaik Divisyen Satu.

Mengiringi Negeri Sembilan Antlers ke STL Premier adalah Sabah Mountaineers yang melonjak ke tangga kedua pada hari terakhir menerusi kemenangan 2-0 (21-15, 21-18) ke atas PSM Mavericks. 

Kemenangan ketujuh itu membolehkan Sabah Mountaineers memintas kedudukan Putrajaya Cyborg yang terpaksa akur menamatkan saingan di tempat ketiga menerusi beza set setelah pasukan itu mencicirkan set ketika menentang Perlis Vipers dan sekadar menang 2-1 (18-21, 21-17, 21-14).

Selaku naib juara, Sabah Mountaineers turut layak beraksi di STL Champions Cup dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala Putrajaya Cyborg pula membawa pulang RM7,000. 

Pahang Mammoth mengakhiri cabaran di tempat keempat sementara pasukan MASUM-UPM yang pada mulanya menampakkan potensi selaku pencabar kejuaraan pula sekadar menamatkan saingan di tempat kelima setelah mengalami dua kekalahan pada minggu akhir. 

Senarai pemenang keseluruhan STL Divisyen Satu: 
Juara : Negeri Sembilan Antlers (RM12,000, layak ke STL Champions Cup)
Naib Juara : Sabah Mountaineer (RM10,000, layak ke STL Champions Cup)
Tempat ketiga : Putrajaya Cyborg (RM7,000)
Tempat keempat : Pahang Mammoth (RM5,000)
Tekong terbaik : Muhammad Izwan Zukri (Sabah Mountaineers)
Apit kanan terbaik : Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar (Negeri Sembilan Antlers)
Apit kiri terbaik : Muhammad Fakhrul Razi Ismail (Pahang Mammoth)
Jurulatih terbaik : Mohd Isa Sidek (Negeri Sembilan Antlers)
Pengurus terbaik : Mohd Azam Yakob (Pahang Mammoth)
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen