STL: Mountaineers, Tigris buat kejutan

Oleh Azizan Hashim 27 Oktober 2019 5667
STL: Mountaineers, Tigris buat kejutan
Sabah Mountaineers dan Johor Tigris melakukan kejutan apabila menewaskan lawan masing-masing dalam saingan hari ketiga minggu ketujuh Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Mountaineers, yang juga pasukan tercorot liga, menumpaskan Terengganu Turtles 2-0 manakala Tigris mengatasi juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-1.

Kemenangan 21-17, 21-19  itu adalah yang kedua buat Mountaineers untuk mengutip empat mata daripada 17 perlawanan.

Pasukan itu akan bertemu Negeri Sembilan Antlers dalam perlawanan terakhir mereka Jumaat ini.

Bagi Turtles pula, kekalahan itu menjejaskan peluang mereka untuk mengelakkan penyingkiran ke Liga Divisyen 1 musim depan

Sementara itu, kecederaan tekong, Said Ezwan Said De, pada pertengahan set kedua menjadi faktor yang menyumbang kekalahan 1-2 Black Panthers kepada Tigris.

Sebelum itu, gandingan Said Ezwan, Zulhusni Basri dan Azlan Alias memenangi set pertama 21-14 dalam tempoh 25 minit.

Bagaimanapun, malang yang menimpa tekong kebangsaan itu memaksa Black Panthers memasukkan Zarif Marican Ibrahim Marican.

Penggantinya itu ternyata gugup dan keadaan itu dimanfaatkan Tigris, yang membariskan Farid Aziz, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin, untuk menguasai set kedua dengan kemenangan 21-18.

Walaupun Said Ezwan dimasukkan semula dalam set ketiga, ia sudah terlambat untuk menyekat kemenangan 21-9 Tigris.

Kekalahan itu adalah yang keempat buat Black Phanters dan kemenangan ke-10 buat pasukan dari selatan tanah air itu.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen