STL: Melaka raih kemenangan selepas dua bulan

Oleh Staff Writer 3 Disember 2016 32
STL: Melaka raih kemenangan selepas dua bulan
Melaka Titans mengakhiri kemarau kemenangan dua bulan lamanya dengan mengejutkan Kedah Eagles 21-18, 21-13 namun kekal menghuni tangga corot Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016, hari ini.

Tekong Sahidan Md. Ali, pelibas Azwan Yahya dan pengumpan Zarlizan Zakaria mengharungi 46 minit untuk mengutip hanya kemenangan kedua di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor atau yang pertama sejak 1 Oktober lalu (mengejutkan juara bertahan ATM Guardians).

Namun, kemenangan terhadap Eagles (Nazirul Akram Razali/Asrah Adenan, Shahrol Nizam Romli dan Zuleffendi Sumari)  itu tidak mampu mengubah nasib mereka yang sudah kempunan ke separuh akhir tetapi mungkin dapat mengelak zon penyingkiran ke Divisyen Satu 2017.

Sekalipun memenangi baki tiga perlawanannya nanti, termasuk dengan Penang Panthers esok, Titans sudah tidak dapat menyaingi pungutan 12 mata yang kini dimiliki Kuala Lumpur Thunder dan Guardians di tangga ketiga dan keempat.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Kelantan Warriors kembali berjuang untuk mengelak zon penyingkiran dari tangga kedua corot di atas Melaka dengan menumpaskan Johor Tigris 21-16, 22-20 selepas berentap 45 minit.

Warriors membariskan Khairul Hisham Yusoff, Wan Naim Izani Noor dan apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Azwawi manakala Tigris hanya tampil dengan tiga pemain sahaja tanpa simpanan -- Amirul Asyraaf Khairul, Norhaffizi Razak dan Lutfil Hadi Azmi.

Kelantan kini melonjak ke anak tangga keenam dan jurang set menang dan set kalahnya yang lebih baik memisahkannya dengan Johor dan Kedah di tangga kelima dan ketujuh walaupun ketiga-tiganya terikat lapan mata.

Saingan Divisyen Satu menyaksikan Perak kembali mengasak status pendahulu carta mata yang pernah dipegangnya dengan melonjak ke tangga kedua di bawah Selangor setelah menewaskan Sarawak 21-15, 21-5.

Dua mata liga yang dicapai Bos Gaurus dalam tempoh 26 minit itu mengikatnya 12 mata dengan Selangor, diikuti Negeri Sembilan The Jangs di tangga ketiga dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A.

PSM A menewaskan Perlis 21-12, 21-9 dalam setengah jam manakala adiknya, PSM B, dikejutkan Pahang 15-21, 18-21 dalam tempoh 50 minit dan Putrajaya membenam Labuan 21-19. 21-18 selepas 39 minit.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen