Tekong utama ATM Guardians, Hairul Hazizi Haidzir, berpendapat ia satu kerugian besar andai pasukannya gagal menamatkan saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2018 selaku juara setelah menunjukkan kredibiliti selaku pencabar kejuaraan sehingga ke minggu akhir.

ATM Guardians dan Penang Black Panthers silih berganti menerajui takhta liga sejak dari minggu pertama sehingga ke minggu terakhir saingan.

Kedua-dua pasukan kekal berada di kedudukan satu-dua dengan jumlah mata sama -- 26 mata daripada 13 kemenangan.

Namun, ATM Guardians mendahului dengan kelebihan tipis menerusi beza set menang dan untuk bergelar juara, mereka perlu memenangi baki dua perlawanan menentang Selangor Pistons esok dan KL Thunder, Ahad ini, dengan keputusan straight set.

Andai tercicir satu set sekalipun, ia akan menyaksikan kedudukan mereka berpotensi dipintas oleh Penang Black Panthers yang dijangka tidak berdepan masalah melakar kemenangan ke atas pasukan tangga tercorot, Melaka Titans, dalam perlawanan terakhir mereka.

Hairul Hazizi, yang juga tekong kebangsaan, berkata keyakinan di kem ATM Guardians ketika ini sedang memuncak untuk meneruskan momentum kemenangan dan memastikan kejuaraan kembali dalam genggaman pasukan itu selepas dua musim menjadi milik Penang Black Panthers.

“Kami telah beraksi dengan konsisten sejak minggu pertama dan kunci utama prestasi baik ini adalah keinginan dan juga kerjasama sepasukan yang tinggi.

"Kemenangan 4-0 dalam baki dua perlawanan boleh menghadiahkan kejuaraan buat kami, jadi kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan dan tidak boleh berpaling lagi.

“Amat mengecewakan jika kami yang sudah berada di atas dipotong pada saat-saat akhir.

"Kami perlu fokus dan belum tiba masanya untuk kami fikirkan kejuaraan.

"Ia masih terlalu awal kerana perjuangan belum selesai," katanya.