STL: Masalah dalaman tidak jejas Black Panthers

Oleh Azizan Hashim 25 Oktober 2019 6189
STL: Masalah dalaman tidak jejas Black Panthers
Juara bertahan, Penang Black Panthers, tidak menunjukkan tanda-tanda terjejas dengan kemelut yang dihadapinya dalam saingan minggu ketujuh Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Walaupun digegarkan dengan isu penarikan diri pengurus, pemain dan pemecatan jurulatih, Black Panthers, yang hanya tinggal empat pemain untuk meneruskan kempen, masih mampu mengatasi PDRM Defenders 21-14, 21-17.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan Pulau Mutiara itu kekal mendahului liga dengan 22 mata.

Said Ezwan Said De (tekong), Zulhusni Basri (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam) tidak membiarkan fokus mereka terjejas walaupun diulit masalah dalaman sepanjang perlawanan selama 79 minit itu.

Walaupun Defenders cuba memberikan tentangan, namun kesungguhan semata-mata tidak mencukupi untuk menyekat Azlan dan rakan-rakannya. 

Juara bertahan itu dilanda masalah yang menyaksikan pengurus, Abdul Hafiz Abdul Majid,
membuat keputusan drastik untuk meletakkan jawatan semalam setelah tidak dapat mencapai kata sepakat dengan Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang (PESENANG) berhubung percaturan pemain dalam STL.

Ia susulan pemecatan mengejut yang dilakukan PESENANG terhadap dua jurulatih, Helmi Ismail dan Fazil Asri, biarpun Black Panthers sedang memimpin carta STL.

Tindakan itu menyebabkan dua pemain import dari Thailand, Purached Yodsaen dan Aekkasit Naephom, selain Zaim Razali dan Amir Syahiran Fuzi, turut mengundurkan diri daripada pasukan itu.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen