STL: Libasan Nur Haziq hukum Kelantan Warriors 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Disember 2020 1676
STL: Libasan Nur Haziq hukum Kelantan Warriors 
Kelantan Warriors umpama dalam khayalan ketika berdepan Johor Tigris yang ditunjangi kehebatan pelibas muda, Nur Haziq Nor Ali, yang merakamkan kemenangan  mudah dalam dua set.

Ia antara pertembungan yang dinantikan di Stadium Titiwangsa, hari ini, berikutan membabitkan perhitungan dua pasukan yang mampu mencabar kedudukan Kuala Lumpur Thunder selaku pendahulu.

Seperti yang dijangka, set pertama menyajikan saingan sengit sementara wakil dari Pantai Timur itu, yang menampilkan ketua pasukan, Aidil Aiman Azwawi;  tekong, Adam Aiman Zainol , dan apit kanan, Naim Izani Wan Mohd Noor -- sebaliknya gagal memanfaatkan kelebihan waktu rehat lebih panjang ketika permainan diheret sehingga mata ke-22.

 

Joho harini bangkit menewaskan Kelantan dalam dua set. #STL2020 #INIMILIKKITA

Posted by SepakTakraw League on Wednesday, December 16, 2020



Detik itu dimanfaatkan Johor meraih mata pertama dengan kemenangan 22-20.

Keyakinan Johor yang masih kekal dengan mempertaruhkan Wafin Iskandar Abd Hadi(kapten), Mohd Faisal Mohd Fuad, (tekong,) dan Nur Haziq Norali ( apit kanan) semakin meningkat dalam set kedua hingga mendorong Kelantan -- walaupun melakukan beberapa pertukaran pemain -- ketinggalan lebih 10 mata.

Kemasukan Muhammad Eqbal Samsuddin bagi menggantikan Naim juga tidak banyak membantu, malah Faisal menyasarkan Eqbal pula untuk mata ke-18 Johor sebelum libasan Nur Haziq memberikan dua mata akhir sekali gus mengesahkan kemenangan 21-7 buat Johor. 

"Kami memang ada kaji (corak permainan lawan) semalam, kami berlatih pagi tadi (sebagai persiapan).

"Kami cuba dapatkan rentak dalam aspek perejam dan kepala," kata Wafin Iskandar. 

Keputusan lain: 

KL Thunder mng PDRM Defenders 21-12, 21-11

Perak Bison kk Negeri Sembilan Antlers 18-21, 19-21 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen