Rakyat Perak digesa memenuhi Stadium Indera Mulia bagi menyemarakkan sokongan kepada Perak Bison sepanjang tiga hari Liga Sepak Takraw (STL) 2019 pada minggu ketujuh dan kelapan berlangsung di Ipoh mulai esok.

Gesaan itu dibuat Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Perak (PERSEDAR), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, dalam usaha menarik sokongan penyokong kepada pasukan itu.

"Kuningkan Stadium Indera Mulia agar semangat setiap pemain Perak Bison disemarakkan untuk menghadapi baki lima perlawanan yang akan diadakan di Ipoh.

"Minggu ini dan minggu depan adalah penting bagi setiap pasukan yang sudah pasti mahu membuat pecutan akhir ke garisan penamat.

"Saya tidak kisah pasukan lain. Yang penting selaku tuan rumah, Perak ada kelebihan, sebab itu saya ajak orang Perak datang beramai-ramai beri sokongan," katanya.

Setakat ini, perebutan gelaran STL kategori Premier masih terbuka dan dijangka berlanjutan hingga ke hari terakhir kejohanan.

Juara bertahan, Penang Black Panthers, Perak dan ATM Guardians terikat dengan 20 mata, diikuti Kelantan Warriors (18) dan Johor Tigris (16).

Pasukan-pasukan ini semua berpeluang cerah merangkul gelaran kali ini jika menang semua baki perlawanan masing-masing.

Namun, tumpuan umum kini pasti kepada Penang Black Panthers dan tuan rumah, Perak, yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk merangkul gelaran.