Terengganu Turtles terus dirundung duka apabila tewas kepada Kuala Lumpur Thunder yang melakukan kebangkitan untuk menang dalam pertembungan tiga set dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2017 di Stadium Tertutup MBSJ, Serdang Jaya, hari ini.

Setelah hasrat untuk menunda pemasyhuran Penang Black Panthers selaku juara buat dua musim berturut-turut gagal dilunaskan semalam, Terengganu mendambakan kemenangan ke atas Kuala Lumpur bagi mengembalikan motivasi.

Strategi kembali meletakkan Hanafiah Dollah selaku perejam utama dilihat berjaya apabila Terengganu memimpin perlawanan untuk Kuala Lumpur ditundukkan 21-16 dalam set pertama.

Namun, Kuala Lumpur kembali dalam set kedua dengan belang sebenar untuk memaksa Terengganu menggandakan usaha mereka sebelum pasukan ibu kota itu menang 21-18.

Set penentuan yang dijangka lebih sengit, bagaimanapun, meleset apabila Kuala Lumpur dilihat terus mendominasi menuju ke penghujung aksi untuk memuktamadkan kemenangan 21-13.

Kemenangan kelima Kuala Lumpur Thunder itu juga memastikan mereka kekal dalam saingan utama, musim depan.

Sementara itu, selepas meraih kemenangan selesa malam tadi, Kelantan Warriors gagal mengekalkan rentak apabila tumbang 2-0 kepada Selangor Piston.

Biarpun memberi saingan, Selangor Piston lebih ampuh untuk kemenangan 25-24, 21-18 manakala Johor Tigris pula dalam situasi semakin tersepit apabila tumpas kepada Perak Bison dalam pertarungan tiga set yang berkesudahan 21-16. 16-21, 21-18.