Keputusan memilih sukan sepak takraw berbanding bola sepak adalah tindakan paling tepat dibuat perejam Negeri Sembilan Antlers, Mohd Khairol Zaman Hamir Akbar.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui tidak pernah menyesali keputusannya untuk melupakan posisi sebagai penyerang bola sepak untuk menggalas tugas apit kanan secara tetap kira-kira 14 tahun lalu ketika usianya baru 10 tahun.

Khairol Zaman terpaksa memilih salah satu daripada dua sukan tersebut untuk mewakili Negeri Sembilan dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2004.

Keputusan pemain dari Senawang itu dilihat tidak sia-sia kerana sejak itu, dia sudah membuat banyak penampilan bersama skuad kebangsaan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa, termasuk memenangi pingat emas Kejohanan Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) 2015 di Melaka.

Selain itu, dia pernah membantu skuad negara memenangi pingat emas acara regu Sukan SEA 2015 dan 2017 dan terbaru, dinobat sebagai Apit Kanan Terbaik Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Satu 2018 yang melabuhkan tirainya, Ahad lalu.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan seronok kerana ini merupakan kali pertama saya diiktiraf sebagai apit kanan terbaik sejak lima musim beraksi dalam saingan STL.

"Mungkin saya tidak akan pergi sejauh ini jika saya bermain bola sepak. Saya bersyukur kerana mengikut nasihat cikgu sewaktu zaman sekolah rendah dahulu," katanya.

Khairol Zaman berjaya membantu Negeri Sembilan Antlers muncul juara STL Divisyen Satu 2018, sekali gus layak ke STL Premier buat kali pertama musim depan dan bakal membuat penampilan dalam Piala Juara-Juara STL, Jumaat ini.

"Saya pulih daripada kecederaan hamstring kaki kiri sebelum STL bermula. Saya langsung tak menjangkakan untuk mendapatkan anugerah ini kerana masih mencari prestasi terbaik.

"Saya akui ia membakar semangat untuk saya memberikan persembahan bertenaga agar dapat menaikkan nama Negeri Sembilan dalam saingan Piala Juara-Juara STL.

"Kami akan mencuba untuk memberikan tentangan sengit supaya dalapt mencapai sasaran ke separuh akhir.

"Ia satu bonus buat kami jika berjaya melangkah ke peringkat akhir," tambahnya.

Piala Juara-Juara STL yang memasuki edisi kedua, bakal menyaksikan Negeri Sembilan Antlers berentap di dalam Kumpulan B bersama ATM Guardians, Perak Bison dan Johor Tigris manakala Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan, Penang Black Panthers, KL Thunder, Kelantan Warriors dan Sabah Mountaineers.