Negeri Sembilan Antlers terpaksa melalui detik sukar sebelum mencatat kemenangan 2- 1 ke atas Pahang Mammoth petang tadi.

Dalam aksi pertama Liga Sepak Takraw (STL) hari ini, Negeri Sembilan yang tewas kepada Johor Tigris semalam melakukan rombakan barisan utama.

Situasi itu menyaksikan tekong, Hisham Mat, dan Hafizul Hayazi (apit kanan) direhatkan sementara Syahmi Ikwan serta Mohd Khairol Zaman Hamir Akbar diberi peluang untuk memulakan aksi di Stadium Titiwangsa hari ini.




Bagaimanapun, ia tidak mengubah nasib Antlers dengan serta-merta apabila tewas 15-21 kepada Pahang dalam set pertama.

Negeri Sembilan bangkit dalam set kedua menerusi permainan lebih kemas berikutan rejaman Khairol Zaman nyata lebih baik kali ini.

Kemenangan 21-7 ternyata membakar semangat mereka sementara Pahang semakin tertekan untuk set penentu jadi pertaruhan.

Negeri Sembilan mula meninggalkan lawan sebaik melepasi kedudukan 12-12.

Pertahanan Pahang nyata goyah apabila rejaman Khairol Zaman gagal dikembalikan untuk Negeri Sembilan akhirnya menoktahkan kemenangan 21-12.