Kelantan Warriors hanya memerlukan 40 minit untuk mengalahkan PDRM Defenders 2-0 (21-13 dan 21-17 ) dalam aksi berat sebelah minggu kedua, Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, petang tadi.

Kejayaan ini membolehkan skuad Merah Putih membalas dendam kekalahan mereka dalam aksi pembukaan kepada skuad Sang Saka Biru dalam minggu pertama, bulan lepas.

Kelantan Warriors merombak sedikit susunan pemainnya apabila tidak langsung menyenaraikan Hisham Mat, sebaliknya menurunkan tekong, Farid Aziz, apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Zawawi, dan pelibas, Naim Izani Nor.

PDRM Defenders yang masih segar mengalahkan juara bertahan, Penang Black Panthers 2-0, mempertaruhkan tekong, Syahmi Hussin Ali, apit kanan, Hafiz Izudin Wahab dan apit kiri, Syafiq Rahman.

Kelantan Warriors mengorak langkah meninggalkan lawan 9-2 melalui servis kencang Farid sambil dibantu libasan kencang, Naim Izani/

PDRM Defenders membuat pertukaran pertama dengan membawa masuk Shaifullah Nor menggantikan Hafiz Izudin bagi memantapkan serangan namun Kelantan Warriors terus mengganas apabila mendahului 13-4.

Melalui libasan Shaifullah yang ditampan Naim Izani membolehkan Kelantan Warriors menang 21-13 dalam masa 18 minit sahaja.

PDRM Defenders cuba bangkit dalam set kedua, namun libasan Naim Izani hasil umpanan cantik Aidil, memacu Kelantan Warriors mendahului 6-2.

Izzat Zainal pula dimasukkan PDRM Defenders bagi menggantikan Shamin Hussin untuk mengembalikan semangat yang hilang, malangnya terus ketinggalan 2-10.

Kelantan Warriors terus mengancam dan libasan kencang Naim membolehkan Kelantan Warriors mendahului 16-11.

Tekong Kelantan Warriors, Farid, melakukan servis 'drop' yang memerangkap Syafiq untuk mengesahkan kemenangan 21-17.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Rozlan Ismail, memuji persembahan pemainnya dan menyifatkan kemenangan ini sebagai lonjakan motivasi untuk mengharungi perlawanan yang lebih mencabar.

"Pujian kepada semua pemain yang beraksi cemerlang petang ini. Alhamdulillah, kami menang dua daripada tiga aksi yang cukup mencabar dalam minggu kelima ini," katanya.

Kemenangan ke atas PDRM Defenders ini membolehkan Kelantan Warriors memunggut 14 mata daripada tujuh kemenangan dan Sang Saka Biru kekal di tempat ketujuh dengan 10 mata.