Selepas melakukan kebangkitan menakjubkan dengan mengalahkan Selangor Piston dan Johor Tigris dalam Liga Sepak Takraw (STL) minggu lalu, Kelantan Warriors menjanjikan satu lagi persembahan hebat bertemu pasukan pilihan, Terengganu Turtles, di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, petang ini.

Kelantan dijangka menurunkan gadingan utama, Mohd Hisyam Mat sebagai tekong, Aidil Aiman Zawawi dan Mohd Naim Izani untuk mencabar Terengganu Turtles yang bakal mempertaruhkan tekong servis kuda, Zulkifli Abdul Razak.

Tekong utama, Hisyam Mat, 26, berkata menentang regu Terengganu Turtles bukan tugas mudah, sebaliknya mahukan rakan sepasukan kekal fokus dan cuba mengurangkan kesilapan mudah bagi meneruskan momentum kemenangan.

“Kami yakin mampu beri saingan hebat kepada pasukan pilihan, Terengganu Turtles, berdasarkan semangat dan prestasi semasa.

“Pasukan yang mampu mengatasi tekanan dan mengurangkan kesilapan di atas gelanggang akan muncul sebagai pemenang petang ini,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan Terengganu Turtles, Hisyam menyifatkan regu tersebut cukup berpengalaman dan mempunyai tekong yang mampu menghasilkan mata melalui servis kencang.

“Regu (Terengganu Turtles) dibarisi pemain kebangsaan yang sudah lama bersama. Tekong mereka juga semakin menjadi melalui servis kencang. Jangan lupa, mereka menerima latihan daripada jurulatih Thailand,” katanya.

Selepas membuat perhitungan dengan Terengganu Turtles, Kelantan Warriors sekali lagi turun gelanggang menentang Kuala Lumpur Thunder, petang esok.

Kemenangan akan meletakkan mereka dalam kedudukan lebih baik dalam carta STL.