Kelantan Warriors melaungkan amaran mahu menumpaskan Johor Tigris sekali lagi dalam pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, malam ini.

Namun, dengan kebangkitan mendadak Johor Tigris dalam beberapa aksi akhir pusingan pertama, tugas itu tampak sukar dan memerlukan strategi yang tepat.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozlan Ismail, mengakui hakikat itu sambil memberi ingatan kepada anak buahnya supaya sentiasa fokus dalam aksi yang dijangka sengit.

"Biarpun kami menang 2-0 dalam pusingan pertama, itu sudah menjadi sejarah. Johor Tigris sudah menemui rentak permainan dan mereka semakin hebat mencabar pasukan yang berada dalam kelompok atasan liga.

"Kelantan Warriors akan turun dengan semangat yang tinggi dan berazam untuk mencari kemenangan berganda ke atas skuad selatan itu," katanya.

Ditanya kekuatan yang ada pada Johor Tigris, Rozlan menyifatkan pengalaman yang dimiliki menjadi tunjang kepada kekuatan skuad kendalian Ahmad Jais Baharom itu.

"Mereka (Johor Tigris) memiliki bekas tekong kebangsaan, Azman Abdul Hamid, yang semakin meningkat prestasinya. Begitu juga kebolehan yang ada pada kapten, Muqlis Borhan, termasuk pelibas muda negara, Noraizat Nordin.

"Johor Tigris akan turun dengan keinginan menebus kekalahan dalam pusingan pertama, saya jangkakan pertemuan ini pasti sengit dan mencabar buat kami," tambahnya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors berada di tangga keempat liga dengan 10 mata hasil daripada lima kemenangan manakala Johor Tigris yang juga memungut 10 mata berada di tempat kelima hasil perbezaan set menang.