Selepas mempamerkan aksi terbaik dalam minggu pertama Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2017, Kelantan Warriors melaungkan amaran mahu mengejutkan juara bertahan, Penang Black Panthers, di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, malam ini.

Biarpun sedar lawan yang dihadapi sudah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut, ketua jJurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozi Abdul Rahman, tetap yakin anak buahnya mampu mencipta kejutan untuk meleburkan rekod tanpa kalah regu dari utara itu.

“Kami masih kekalkan gandingan Mohamad Hasman Che Hamid (tekong), Aidil Aiman Zawawi (apit kiri) dan Muhammad Aiman Fouzi (apit kanan) untuk menghadapi Penang Black Panthers, malam ini.

“Biarpun mereka (Penang Black Panthers) dianggap pilihan dan masih belum kalah (dalam dua perlawanan), Kelantan Warriors menjanjikan satu perlawanan yang sengit,” katanya.

Mohd Rozi, 44, yang juga jurulatih skuad Sukan Malaysia (Sukma), percaya kekuatan regu Penang Black Panters terletak kepada servis tekong nombor satu kebangsaan, Mohd Syahir Rosdi.

“Jika kami mampu menangani servis kuda Syahir dengan berkesan, kejutan pasti berlaku,” katanya.