Selepas menumpaskan Melaka Titans 2-1, petang semalam, Kelantan Warriors mahu mengejutkan pembunuh gergasi, PDRM Defenders, dalam aksi terakhir mereka dalam minggu kelima Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang ini.

Namun, pemain Kelantan Warriors sentiasa diingatkan supaya tidak gopoh semasa melakukan serangan dan jangan melakukan sebarang kesilapan mudah yang membenarkan lawan menguasai permainan.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozlan Ismail, mahu pemainnya sentiasa tenang sambil mengingatkan kembali kekalahan yang dialami kepada skuad PDRM Defenders dalam aksi pembukaan STL.

"Kami tewas kerana gagal menyerap tekanan dalam aksi pembukaan STL. Kami tidak boleh benarkan pasukan lawan menguasai permainan kerana mereka memiliki permain yang berpengalaman.

"Kejayaan mereka menumpaskan juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-0 kelmarin membuktikan kehebatan yang ada di atas gelanggang.

"Cuma, Kelantan Warriors akan turun dengan semangat yang tinggi dan berazam untuk mencari kemenangan kedua minggu ini," katanya.

Ditanya kekuatan yang ada pada PDRM Defenders, Rozlan menyifatkan ketenangan mengawal permainan yang dimiliki, kapten, Syafiq Rahman, menjadi tunjang skuad Sang Saka Biru itu.

"Begitu juga kebolehan yang ada pada pelibas mereka, Saifullah Nor, yang banyak memberi masalah kepada pertahanan lawan," katanya.

Rozlan juga mahu menurunkan pemain terbaiknya kerana menganggap kemenangan cukup penting untuk mengejar pendahulu liga, ATM Guardians.

"Dengan semua pemain bebas daripada kecederaan, saya harap dapat menurunkan pemain regular dengan harapan untuk memburu kemenangan bagi menutup aksi minggu kelima," katanya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors kini berada di tangga keenam liga dengan 12 mata hasil daripada enam kemenangan manakala PDRM Defenders di tangga ketujuh dengan 10 mata.