Selepas berhempas-pulas mengatasi cabaran sengit Johor Tigris 2-1 (12-21, 21-10, 23-21), Kelantan Warriors berharap dapat mengulangi prestasi hebat dalam pusingan pertama untuk memburu kemenangan ke atas Terengganu Turtles dalam aksi terakhir Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, malam ini.

Kelantan juga sedar kemenangan ke atas Terengganu bukan sahaja membawa mereka kekal di tangga ketiga STL tetapi yang lebih penting adalah kelayakan beraksi dalam Piala Juara-Juara, minggu depan.

Tekong utama, Mohd Hisyam Mat, yakin kemenangan ke atas Johor memberi lebih motivasi kepada mereka untuk mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan Terengganu malam ini.

“Alhamdulillah, kami berjaya mengatasi cabaran sengit Johor. Semangat tidak mudah menyerah kalah sentiasa menjadi perjuangan kami.

“Malam ini, kami akan bertemu dengan Terengganu dalam aksi terakhir liga. Biarpun pernah menang 2-0 dalam pusingan pertama, saya dapat jangkakan satu lagi pertarungan sukar. Mereka sudah pasti ingin bangkit menebus kekalahan,” katanya.

Hisyam juga mengharapkan regunya tidak melakukan kesilapan mudah dan sentiasa sabar dalam menangani ancaman Terengganu yang begitu dahagakan kemenangan.

“Elak daripada melakukan kesilapan mudah yang membolehkan lawan mendapat mata percuma dan sentiasa meningkatkan prestasi permainan,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan berada di tangga ketiga liga STL dengan 14 mata hasil daripada tujuh kemenangan.