Kelantan Warriors mahu kembali mencatatkan kemenangan dalam minggu keenam Liga Sepak Takraw (STL) menentang ATM Guardians di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ), Selangor, malam ini.

Selepas tewas 1-2 kepada juara bertahan, Penang Black Panthers, Kelantan Warriors yakin pemainnya kembali cergas untuk memburu mata penuh, sekaligus mencabar kedudukan ketiga carta liga.

Tekong utama, Mohd Hisyam Mat, mengakui tempoh rehat selama dua minggu digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki segala kelemahan yang masih ada dan berharap dapat mengurangkan kesilapan mudah ketika menghadapi ATM Guardians.

“Alhamdulillah, kombinasi saya bersama Wan Naim Izani Wan Mohd Noor (apit kanan) dan Aidil Aiman Zawawi (apit kiri) semakin serasi dan kami harap mampu memberi cabaran hebat kepada ATM Guardians.

“Mereka (ATM Guardians) sebuah regu yang mantap dan memiliki semangat juang yang tinggi. Kami akan berikan yang terbaik,” katanya.

Hisyam, yang dipilih sebagai pemain terbaik STL minggu keempat, menganggap perlawanan menentang ATM Guardians sebagai peluang terbaik untuk membalas dendam apabila tewas 0-2 dalam pusingan pertama.

“Kami tewas 0-2 kepada mereka dalam pusingan pertama, namun berdasarkan prestasi semasa, saya yakin Kelantan Warriors mampu membalas dendam,” katanya.