STL: Kelantan Warriors idam pusingan kedua lebih positif

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2018 446
STL: Kelantan Warriors idam pusingan kedua lebih positif
Setelah menang dua aksi terakhir pusingan pertama dan berjaya menempatkan diri dalam  kelompok empat pasukan teratas Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018, Kelantan Warriors tidak mahu rentak positif itu disentap.

Pasukan Pantai Timur itu akan menyambung aksi dalam minggu kelima saingan STL Premier dengan menentang Johor Tigris esok yang juga merupakan aksi pertama pusingan kedua bagi mereka.

Walaupun berkeyakinan rentak positif dapat diteruskan, jurulatih, Roslan Ismail, mengakui kesukaran untuk pemainnya berada di tahap terbaik pada setiap masa adalah isu paling besar yang perlu ditangani.

“Ketika menewaskan Perak Bison minggu lepas, saya lihat prestasi pemain saya ada menurun, mereka nampak bergelut, terutama Naim Izani, dan saya terpaksa membuat pertukaran.

“Semua pemain saya bermain seolah-olah seperti kurang bersedia sedangkan ketika latihan nampak semuanya lancar tetapi apabila turun ke gelanggang, ia jadi lain. Mungkin juga kerana kita terlalu inginkan kemenangan, maka mereka jadi tertekan.

“Dalam masa sama, ini sebenarnya berkaitan dengan faktor kepenatan kerana mengharungi perjalanan jauh dari Kelantan. Kadang-kadang pada pagi perlawanan itu baru kami sampai dan pemain tidak cukup rehat. Apabila bermain, fokus mereka terganggu.

“Saya sudah berbincang dengan pemain dan pegawai mengenai perkara ini, jadi pemain akan datang awal pada malam sebelum perlawanan dan ada masa untuk rehat. Saya berharap ini dapat membantu kami bermain dengan lebih positif dalam pusingan kedua,” kata Roslan.

Sepertimana Kelantan Warriors, Johor Tigris yang mendapat semula sentuhan pemain kebangsaan, Noraizat Nordin, dalam regu utama turut melakar dua kemenangan pada minggu keempat.

Ia sekali gus menyaksikan mereka memperbaiki kedudukan dengan melonjak ke tangga kelima, justeru pertembungan kedua-dua pasukan menjanjikan saingan sengit dan menarik untuk disaksikan tatkala masing-masing tidak mahu tercicir daripada memberikan tekanan kepada tiga pasukan teratas.

Selepas menentang Johor Tigris, Kelantan Warriors akan menentang Melaka Titans pada Sabtu disusuli PDRM Defenders pada Ahad.

Sementara itu, pendahulu STL Premier, Penang Black Panthers, pula akan membuka saingan minggu kelima dengan menentang PDRM Defenders esok, disusuli Terengganu Turtles pada Sabtu.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen