Kelantan Warriors berhasrat meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 dengan menjadikan Penang Black Panthers sebagai sasaran terbaru.

Setelah tewas dalam aksi pembuka tirai kepada PDRM Defenders, skuad bimbingan Roslan Ismail itu
menterjemahkan kebangkitan dan mencatat dua kemenangan berturut-turut dengan menewaskan
Melaka Titans dan Johor Tigris, sekali gus melonjak ke tangga kedua liga.

Berdepan Black Panthers, yang sedang unggul menerajui liga dengan rekod bersih tiga kemenangan,
Roslan percaya barisan pemainnya memiliki kredibiliti yang diperlukan untuk mencalar permulaan
sempurna pasukan yang dibarisi dua tonggak kebangsaan, Syahir Rosdi dan Azlan Alias, itu.

“Ia akan menjadi minggu yang cukup mencabar buat kami kerana ada dua aksi penting menentang
juara dan naib juara tahun lalu (Penang Black Panthers dan KL Thunder).

"Tetapi dari sisi positif, nampaknya kami juga telah menemui semula rentak kemenangan dan saya sangat kagum melihat keyakinan diri pemain-pemain dalam dua perlawanan lalu.

"Kami berdepan masalah penyesuaian gelanggang pada mulanya. Dalam masa sama, pemain tonggak,
terutama tekong, Hisyam Mat, masih bergelut mendapatkan semula sentuhan.

"Kemudian, saya telah membuat sedikit pertukaran pada regu dengan menurunkan Farid Aziz menggantikan Hisyam dalam dua perlawanan dan ia percaturan yang menjadi.

“Melihat kepada kerja keras dan komitmen pemain dan kembalinya Hisyam kepada prestasi sebenar,
saya berharap kami mampu peroleh keputusan positif walaupun saya akui Black Panthers
sebuah pasukan kuat, tiada siapa boleh mempertikaikannya.

"Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar tetapi kami akan tampil memberikan tentangan sengit,” kata Roslan.

Untuk rekod, Kelantan Warriors, yang turut diperkuatkan oleh apit kiri kebangsaan, Aidil
Aiman Azwawi, serta perejam, Wan Naim Izani Wan Mohd Noor, tewas 1-2 dalam kedua-dua
pertemuan menentang Black Panthers musim lalu.

Dalam pada itu, jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail, menolak tanggapan bahawa jurang kekuatan
di antara pasukannya dan pasukan-pasukan lain terlalu jauh berbeza dengan mengambil kira keputusan
minggu pertama yang mana Black Panthers melakar tiga kemenangan tanpa tewas sebarang set.

“Ia bukanlah kami terlalu bagus tetapi pemain-pemain saya cepat menyesuaikan diri dengan gelanggang dan lebih penting menunjukkan kerjasama sepasukan yang baik. Dari situ, kualiti akan datang dengan sendiri.

"Kami perlu kekalkan konsentrasi kerana saya yakin saingan akan bertambah rancak selepas ini, sekarang semua pasukan sudah tahu bagaimana suasana di sini dan akan membuat persiapan lebih rapi,” kata Helmi.