STL: Kelantan Warriors gomo Terengganu Turtles

Oleh Farizal Yusoff 22 Oktober 2017 2601
STL: Kelantan Warriors gomo Terengganu Turtles
Kelantan Warriors terus mencipta sensasi apabila menunaikan  janji untuk menumpaskan pasukan pilihan, Terengganu Turtles, di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, petang semalam.

Nyanyian ‘Ayuh Kelateku’ jelas kedengaran apabila servis terakhir tekong Terengganu Turtles, Zulkifli Razak, atau "Sobey" jelas keluar sambil tekong Kelantan, Mohd Hisyam Mat, mencium gelanggang tanda syukur dengan kemenangan 2-0.

Kelantan bermula agak perlahan, namun ketenangan yang dimiliki tekong utama, Hisyam Mat, jelas ketara apabila berjaya mengawal emosi dua rakannya, Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Wan Naim Izani Wan Mohd Noor, ketika mata perlawanan terikat 20–20.

Hisyam berjaya mendapatkan mata ke-21 melalui servis drop sebelum tekong muda Terengganu, Irsyad Faiz Aziz, melakukan servis keluar untuk Kelantan Warriors memenangi set pertama 22-20.

Set kedua, Terengganu Turtles bermula garang apabila memasukkan Zulkifli Razak untuk mencari kemenangan. Malangnya, regu muda Kelantan Warriors kental menyerap segala asakan untuk menang 21-19.

Bagi Hisyam, konsep saling mengingatkan antara satu sama lain dan cuba mengurangkan kesilapan mudah menjadi resipi terbaik kejayaan mereka menumpaskan Terengganu Turtles.

“Alhamdulillah, kami bermula dengan ketinggalan tetapi yakin mampu mencipta kejutan ke atas Terengganu Turtles.

“Bila melakukan kesilapan, kami akan berbincang dan memberi motivasi antara satu sama lain. Alhamdulillah, rezeki kami untuk menang,” katanya.

Petang ini, Kelantan Warriors akan turun menentang Kuala Lumpur Thunder dan kemenangan sudah pasti meletakkan mereka dalam kelompok tiga teratas dalam carta STL.


Foto kredit: Facebook Sepak Takraw League

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen