STL: Kelantan Warriors gomo Johor Tigris

Oleh Farizal Yusoff 7 Oktober 2018 1113
STL: Kelantan Warriors gomo Johor Tigris
Kelantan Warriors terus mencipta kebangkitan apabila menumpaskan Johor Tigris 2-0 (21-15, 21-12) dalam aksi ketiga Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya,  petang tadi.

Kelantan Warriors mengekalkan regu yang menumpaskan Melaka Titans dalam usaha meneruskan momentum kemenangan, sebaliknya Johor Tigris membawa masuk tekong muda, Nazmi Nasar, menggantikan Azman Abdul Hamid.

Kelantan Warriors bermula garang mendahului 7-3 dalam set pertama sebelum Johor Tigris mula mengejar melalui libasan kencang apit kanan kebangsaan, Noraizat Nordin.

Kombinasi mantap trio skuad kendalian Roslan Ismail itu menyukarkan segala ancaman yang dirancang kapten Johor Tigris, Muqlis Borhan, sehingga mereka ketinggalan 18-14.

Melalui servis kencang tekong, Farid Aziz berjaya mencari kaki kiri Muqlis, bola gagal dikawal dan memberikan Kelantan Warriors menang 21-15.

Dalam set kedua, ketua jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais Baharom, membawa masuk tekong berpengalaman, Azman, dan berjaya mendahului 6-3.

Kelantan Warriors cuba bangkit dan membawa masuk tekong, Hisyam Mat, bagi memberi lebih tekanan kepada Johor Tigris yang berusaha mengheret permainan ke set penentuan.

Usaha itu berhasil apabila variasi servis Hisyam berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Johor Tigris sehingga mendahului 20-12.

Libasan padu Nor Aizat berjaya diangkat apit kiri Kelantan Warriors, Aidil Aiman, sebelum diumpan kepada Yuslie untuk mata penamat Kelantan Warriors.

Untuk rekod, kemenangan kedua ini membolehkan Kelantan Warriors menamatkan minggu pertama dengan empat mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan manakala Johor Tigris masih belum mengutip sebarang mata.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen