STL: Kelantan Warriors gagal saingi ATM Guardians

Oleh Penulis Jemputan 21 Oktober 2018 270
STL: Kelantan Warriors gagal saingi ATM Guardians
Hajat besar Kelantan Warriors untuk menjadi pasukan pertama mencemarkan rekod bersih ATM Guardians dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 tidak menjadi kenyataan. 

Sebaliknya, ATM Guardians terus terbang di awangan apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan dari Pantai Timur itu di Gem In Mall, Cyberjaya hari ini untuk merekodkan kemenangan ketujuh berturut-turut bagi mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas. 

Apit kanan veteran, Khairuddin Adenan, yang tidak beraksi ketika menewaskan PDRM Defenders semalam kerana kecederaan kembali memperkuatkan pasukan dan gandingannya bersama tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, serta Norfaizzul Razak nyata terlalu ampuh untuk disaingi regu Kelantan Warriors, Aidil Aiman Azwawi, Hisyam Mat dan Yuslie Jusoh.

Trio Khairuddin, Hairul dan Norfaizzul tampil dengan permainan cukup mantap dan berdisiplin untuk bangkit daripada ketinggalan jauh 3-10 dan menang 21-18 dalam set pertama sebelum mengesahkan kemenangan mudah 21-10 dalam set kedua.

Hairul Hazizi yang ditemui selepas perlawanan mengakui dia sendiri tidak menjangka ATM Guardians boleh mengekalkan momentum kemenangan sehingga berakhir minggu ketiga sambil menyifatkan bahawa kunci utama prestasi cemerlang mereka adalah kerana kurangnya tekanan.  

“Ramai tidak memberi tumpuan kepada ATM Guardians dan itu sebenarnya dari satu sudut membantu kami bermain dengan keyakinan diri yang tinggi. Kami menunjukkan ketenangan ketika ketinggalan jauh dan apabila kami menemui rentak, Kelantan mula hilang fokus dan melakukan kesilapan. 

“Kami menunjukkan kerjasama sepasukan yang tinggi dan lebih penting, kami tidak hilang kepercayaan, berdoa, bertawakal dan berusaha. Kami tahu motivasi pemain Kelantan terjejas teruk selepas tewas set pertama dan kami memanfaatkannya untuk menghukum mereka,” kata Hairul Hazizi.

Jurulatih Kelantan Warriors, Rozlan Ismail, pula terkilan pasukannya tewas kedua-dua perlawanan pada minggu ketiga dan menganggap pemainnya tidak betul-betul bersedia daripada aspek mental mahupun fizikal. 

“Kami telah cuba memberikan tentangan, saya membuat pertukaran dengan mengeluarkan Hisyam dan menggantikannya dengan Farid (Aziz) bagi mempelbagaikan servis tetapi yang nyata adalah kami kurang bersedia.

"Kami kurang menjadi dalam pelbagai aspek, tidak bertahan dengan baik terutama, apabila menerima servis daripada mereka, dan ia ketara mereka kepenatan. Saya bukan cuba mencari alasan tetapi faktor perjalanan jauh turut memainkan peranan,” ujar Rozlan.   

Kekalahan terbaru ini adalah kekalahan keempat buat Kelantan Warriors dalam tujuh perlawanan, menyaksikan kedudukan mereka dalam STL Premier semakin tergelincir. 

Sementara itu, dalam satu lagi aksi, Perak Bison menghadiahkan Melaka Titans kekalahan kelima berturut-turut setelah trio Yus Hanif Rosli, Azwan Muhrim dan Fadzil Mustapha melakar kemenangan 2-0 (21-13, 22-20) ke atas Khobil Sapair, Hasif Yusof dan Asyraaf Zawawi.

Kemenangan ketiga buat Perak Bison menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat manakala Melaka Titans kekal terperosok di tangga tercorot. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen