Hajat Kelantan Warriors untuk bangkit segera selepas kalah 0-2 kepada Johor Tigris tercapai apabila menumpaskan pasukan tercorot, Melaka Titans, 2-1 (18-21, 21-8, 21-19) dalam aksi mendebarkan dalam minggu kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, petang tadi.

Kelantan Warriors merombak sedikit susunan pemainnya apabila menurunkan apit kanan, Hafizi Maarof, untuk bergandingan dengan tekong, Farid Aziz, dan apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Zawawi.

Melaka Titans yang begitu terdesak mencari kemenangan bagi mengelak daripada zon penyingkiran pula mempertaruhkan tekong negara, Sahidan Ali, apit kanan, Shelpul Saat, dan apit kiri, Zarlizan Zakaria.

Melaka Titans melalui servis kencang Sahidan mengucar-kacirkan pertahanan lawan untuk memenangi set pertama 21-18, sekaligus membuatkan pasukan Kelantan Warriors tertekan.

Menyedari kemenangan cukup penting untuk mencabar kelompok atas liga, Kelantan Warriors mengemaskan aspek serangan dan menang mudah 21-8 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Drama dalam set ketiga semakin menarik apabila Melaka Titans mendahului Kelantan Warriors 11-4 apabila servis Farid tersangkut di jaring.

Kelantan Warriors yang membawa masuk apit kanan berpengalaman, Yuslie Jusoh, tidak berputus asa dan mula mengejar sehingga mendahului 15-14.

Ternyata ketenangan dan rezeki milik skuad Merah Putih itu apabila servis akhir yang dilakukan Sahidan diangkat Aidil Aiman lalu dilibas Yuslie untuk mata kemenangan 21-19.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Rozlan Ismail, memuji ketenangan yang dipamerkan pemainnya, terutama dalam set penentuan, sehingga membuatkan Melaka Titans banyak melakukan kesilapan mudah.

"Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami biarpun dalam set ketiga Kelantan Warriors ketinggalan agak jauh.

"Strategi memasukkan pelibas berpengalaman, Yuslie, berbaloi apabila dia bergandingan baik dengan Farid dan Aidil untuk memberikan kemenangan keenam kami," katanya.

Kemenangan ke atas Melaka Titans membolehkan Kelantan Warriors memungut 12 mata daripada enam kemenangan dan Melaka Titans semakin terhimpit di zon penyingkiran apabila kekal dengan dua mata.

Keputusan lain:

Penang Black Panthers mengatasi Terengganu Turtles 2-1 (18-21, 21-16, 11-21)