STL: Kelantan Warriors atasi Selangor Pistons 

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2017 1587
 STL: Kelantan Warriors atasi Selangor Pistons 
Kelantan Warriors mengetepikan Selangor Pistons dalam aksi sengit menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-15 dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2017 di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya, malam ini. 

Kelantan Warriors, yang tewas dua kali berturut-turut sebelum ini kepada ATM Guardians dan Penang Black Panthers, berjaya bangkit dengan membenam cabaran Selangor Pistons. 

Selangor pula yang mencari kemenangan ketiga turut mengintai peluang dengan menurunkan gandingan terbaik, termasuk pemain kebangsaan, Farhan Adam. 

Bagaimanapun, Kelantan yang membariskan Misyam Mat di posisi tekong di samping Aiman Azwawi dan perejam, Naim Izani, berjaya menyerap segala tekanan dalam set pertama. 

Libasan Naim nyata menjadi kunci kejayaan Kelantan untuk memenangi set pertama 21-14. 

Selangor yang mempertaruhkan seorang lagi perejam kebangsaan, Norshahrudin Ghani, cuba bangkit dalam set kedua, namun Kelantan kental memberikan tentangan. 

Aksi sengit dalam set kedua itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling mencuri mata menerusi libasan di depan jaring, bagaimanapun Kelantan lebih garang menamatkan aksi set kedua dengan kemenangan 21-15. 

Dalam satu lagi pertarungan malam ini, Perak Bison berdepan detik mencemaskan dalam set ketiga apabila membenarkan lawan mengejar kedudukan biarpun mendahului 20-14 sebelum menumpaskan Johor Tigris, 2-1, untuk kemenangan ketiga mereka musim ini. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen