STL: Kelantan Warriors atasi Selangor Pistons

Oleh Farizal Yusoff 17 November 2018 1009
STL: Kelantan Warriors atasi Selangor Pistons
Kelantan Warriors mempamerkan aksi bertenaga untuk menjinakkan Selangor Pistons 2-0 (21-18, 21-12 ) dalam aksi menarik minggu ketujuh Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya,  sebentar tadi.

Kelantan Warriors merombak sedikit susunan pemainnya apabila tidak menyenaraikan apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Zawawi, sebaliknya memilih Hafizi Maarof untuk bergandingan dengan Hisyam Mat dan pelibas berpengalaman, Yuslie Jusoh.

Selangor Pistons juga tidak menurunkan regu utama apabila mempertaruhkan tekong, Shafiq Shariff, apit kiri, Arif Badri, dan apit kanan, Amyrul Shafiq Shamsuddin, untuk cuba melakar kejutan.

Kelantan Warriors mengorak langkah awal dalam set pertama apabila meninggalkan lawan 17-13 melalui servis kencang Hisyam sambil dibantu libasan tajam Yuslie.

Lawan cuba bangkit mengejar, namun variasi servis Hisyam berjaya memecahkan pertahanan Merah Kuning untuk menang 21-18 dalam masa 32 minit.

Dalam set kedua, servis Hisyam menjadi mimpi ngeri kepada lawan apabila mendahului 9-1 sambil Selangor Pistons meminta 'time-out'  untuk merancang semula strategi permainan.

Kelantan Warriors terus mengancam dan dua servis Hisyam menuju sasaran mencari apit kanan, Amyrul Shafiq, sekali gus menamatkan perjuangan Selangor Pistons 21-12.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Rozlan Ismail, memuji persembahan pemainnya dan menegaskan kemenangan itu memberi lebih motivasi untuk menentang ATM Guardians, petang esok.

"Pujian kepada semua pemain yang beraksi cemerlang malam ini. Alhamdulillah, kami menang straight set dan memungut mata penuh.

"Kami akan menghadapi cabaran yang lebih sukar esok menentang pencabar kejuaraan liga, ATM Guardians," katanya.

Kemenangan ke atas skuad Merah Kuning membolehkan Kelantan Warriors berada di tangga keempat liga dengan 16 mata daripada lapan kemenangan manakala Selangor Pistons jatuh ke tangga kesembilan dengan 10 mata.

Sementara itu, juara bertahan, Penang Black Panthers kembali menerajui liga dengan 26 mata apabila mudah menumpaskan Johor Tigris  2-0 (21-10, 21-19) untuk memintas ATM Guardians dengan kelebihan dua mata.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen