Kelantan Warriors bangkit untuk meraih kemenangan dalam aksi sulung Liga Sepak Takraw (STL) 2017 dengan menewaskan naib juara musim lalu, Kuala Lumpur (KL) Thunders, 2-1, hari ini.

Kelantan meraih mata pertama dan terus terus memimpin permainan sehingga dua angka sebelum KL Thunders mengubah situasi itu untuk merampas set pertama 21-14.

Saingan dalam set kedua jelas lebih menarik sehingga kedua-dua pasukan terikat 8-8 sebelum langkah KL Thunders disekat Kelantan pada mata ke-15 untuk mengheret perlawanan ke set ketiga menerusi keputusan 21-15.

Ketika saingan sengit dijangka sekali lagi dihidangkan Kelantan dan KL Thunders, pertengahan aksi penentuan itu jelas mula memihak pasukan Pantai Timur tersebut yang lebih garang mengutip mata demi mata untuk mengesahkan kemenangan 21-13.

Sementara itu, satu lagi perlawanan menyaksikan ATM Guardians menentang Terengganu Turtles. Terengganu bermula lebih cemerlang dengan terlebih dahulu membuka tirai pungutan mata dengan pelibas, Fadzli Roslan, menyumbang mata-mata penting kepada pasukannya.

Namun, Afifuddin Razali juga berjaya menyekat beberapa percubaan yang dilakukan sebelum saingan sengit tersebut menyaksikan keputusan 21-18 memihak Terengganu Turtles dalam set pertama.

Dalam set seterusnya, ATM Guardians, memperkemaskan permainan dan memberikan asakan hebat kepada lawan.

Kedua-dua pasukan terus diikat seri sehingga penghujung set kedua 20-20. Dua mata terakhir cemerlang diraih Terengganu Turtles untuk set kedua turut memihak mereka.

Aksi ketiga STL hari ini menyaksikan juara menanti, Penang Black Panthers, meneruskan rentetan kejayaan Piala Sumbangsih malam tadi dengan menewaskan Johor Tigris 2-1.