Jurulatih Johor Tigris, Muhammad Ibrahim, berpendapat pasukannya belum lagi menyerlahkan potensi sebenar mereka dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier 2018.

Setelah berakhir minggu ketiga saingan, pasukan dari selatan itu telah beraksi tujuh perlawanan dan menduduki tangga kelima liga dengan catatan tiga kemenangan dan empat kekalahan.

Bagaimanapun, Muhammad yakin pasukan dari selatan itu boleh beraksi dengan lebih baik sekiranya dapat mempertaruhkan regu terkuat mereka iaitu Noraizat Nordin, Muqlis Borhan dan Noor Azman Hamid sebagai regu permulaan.

“Pasukan ini baru dapat kumpulkan pemain-pemain utama, jadi perlukan masa untuk tingkatkan kombinasi dan keserasian. Peningkatan memang ada dari minggu ke minggu, tapi kami belum lagi mencapai tahap prestasi yang dimahukan dan perlu lebih bekerja keras,” kata Muhammad.

“Lagipun perejam utama kami, Noraizat masih lagi belum cergas sepenuhnya, jadi Ashraf Azizan diturunkan sebagai pemain utama buat masa ini. Saya banyak gunakan Noraizat sebagai gantian di set kedua ataupun apabila set pertama dah apabila keadaan betul-betul memerlukan, barulah dia dibawa masuk.

“Kami mahu dia fokus pada pemulihan dan tidak mahu mengambil risiko, risiko kepada dia dan juga pasukan. Jadi saya harapkan Noraizat akan pulih sepenuhnya untuk aksi minggu ini dan sudah tentu kehadiran dia akan menyuntik semangat kepada rakan-rakan dan memacu prestasi pasukan ke tahap lebih baik.”

Muhammad turut berharap pasukannya akan dapat mengurangkan kesilapan berulang yang dilakukan pada setiap perlawanan agar dapat memperbaiki pencapaian menduduki dua tangga tercorot musim lalu.

“Kami berdepan permasalahan sama setiap perlawanan, terutama melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya yang memberikan lawan mata mudah sepertimana dapat dilihat ketika lawan Penang Black Panthers tempoh hari. Jadi, saya akan fokus untuk memperbaiki serangan dan defensif pasukan, kita perlu untuk tampil lebih bersaing dan cuba memecah masuk ke kelompok empat teratas,” tambah Muhammad.

Selain Muqlis, Noraizat, Noor Azman dan Ashraf, pemain lain yang memperkuatkan pasukan Johor Tigris adalah Sofian Abdul Rahim, Nazmi Nasar dan Reffauzi Maulani.

Aksi minggu keempat bakal menyaksikan Johor Tigris beraksi dua perlawanan dengan berdepan pasukan tangga tercorot Melaka Titans pada 26 Oktober dan PDRM Defenders, sehari kemudian.


Sementara itu, pendahulu liga ATM Guardians yang unggul dengan rentetan tujuh kemenangan berturut-turut akan diuji kredibiliti mereka oleh KL Thunders pada Jumaat sebelum mereka melayan Selangor Pistons pada 27 Oktober dan kemudiannya Penang Black Panthers (28 Oktober).

Jadual minggu keempat STL Premier :
26 Oktober (Jumaat, bermula 5 petang)

Melaka Titans lwn Johor Tigris
ATM Guardians lwn KL Thunders
PDRM Defenders lwn Perak Bison
Terengganu Turtles lwn Kelantan Warriors

27 Oktober (Sabtu, bermula 5 petang)

Johor Tigris lwn PDRM Defenders
Selangor Pistons lwn ATM Guardians
Penang Black Panthers lwn Perak Bison
KL Thunders lwn Terengganu Turtles

28 Oktober (Ahad, bermula 5 petang)

Perak Bison lwn Kelantan Warriors
ATM Guardians lwn Penang Black Panthers
Terengganu Turtles lwn Selangor Pistons
PDRM Defenders lwn Melaka Titans

Saksikan STL 2018 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 5.00 petang hingga 9.00 malam serta siaran langsung setiap perlawanan di twitter @astroarena. Sementara analisis STL 2018 setiap Rabu jam 10.30 malam di Astro Arena Saluran 801, 802HD, NJOI Prepaid, Astro GO dan NJOI Now.