STL: Jumpa Black Panthers, naikkan dulu servis pertama, kata Ismi

Oleh Farizal Yusoff 27 Oktober 2018 766
STL: Jumpa Black Panthers, naikkan dulu servis pertama, kata Ismi
Selepas mengalahkan PDRM Defenders 2-1 (19-21, 21-18, 21-11), Perak Bison mahu mencipta satu lagi kemenangan dengan mengalahkan juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam aksi kelapan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, malam ini.

Sedar lawan yang bakal ditentang bukan calang pasukan, ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, menuntut pemainnya agar sentiasa fokus dan kurang melakukan kesilapan mudah.

"Alhamdulillah, kami menewaskan PDRM Defenders 2-1 malam tadi biarpun mendapat saingan sengit dan diheret ke set penentuan.

"Jumpa Penang Black Panters malam ini, kami perlu lebih tenang dan sentiasa fokus kepada permainan," katanya.

Ismi Hissan yang membawa Perak menjuarai Piala Emas Khir Johari (PEKJ) di Kota Bharu Julai lalu, mengakui kekuatan skuad Pulau Mutiara  itu banyak bergantung kepada kekuatan servis tekong kebangsaan, Syahir Rosdi.

"Kekuatan servis (tekong) yang mampu mengugat pertahanan lawan menjadi kelebihan kepada Penang Black Panthers.

"Untuk posisi apit kanan dan kiri, kekuatan kami agak seimbang dan paling penting, naikkan dulu servis pertama dan perlawanan pasti menjadi menarik," katanya.

Ditanya prestasi tekong muda, Heppy Itam, yang beraksi dalam set pertama menentang PDRM Defenders sebelum digantikan dengan tekong berpengalaman, Yus Hanif Rosli,  Ismi Hissan jelas gembira dengan persembahannya dan yakin mampu lebih menyerlah selepas ini.

"Dia (Heppy) bermain baik dan servis kudanya juga mampu memberi mata kepada pasukan. 

"Cuma, mungkin lambungan daripada apit kanan (Fadzil) tidak sampai dan servisnya sangkut di jaring. Bagi sedikit masa kerana ini aksi pertamanya dalam STL," katanya.

Kemenangan Perak Bison ke atas PDRM Defenders malam tadi membolehkan mereka kekal di tangga keempat carta dengan lapan mata hasil empat kemenangan sambil dikejar Johor Tigris dan Kelantan Warriors.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen