STL: Juara milik Penang Black Panthers

Oleh Farizal Yusoff 25 November 2018 1235
STL: Juara milik Penang Black Panthers
Penang Black Panthers ditabalkan juara Liga Sepak Takraw (STL) Premier musim ini apabila pencabar utamanya, ATM Guardians, kalah 2-1 ( 21-17, 14-21,  21-18) kepada Kuala Lumpur (KL) Thunder dalam saingan akhir minggu kelapan  di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

ATM Guardians, yang wajib menang straight set untuk bergelar juara, membariskan Hairul Hazizi Haidzir, perejam, Muhaimi Che Bongsu dan Norfaizzul Abdul Razak.

KL Thunder, yang tumpas kepada Terengganu Turtles 2-1 malam tadi, kembali menurunkan gandingan apit kiri kebangsaan, Amirul Zazwan Amir bersama Norhafizi Razak dan tekong, Aizat Azmi.

Dalam set pertama, kedua-dua regu saling berkejaran mata sebelum kesilapan servis Hairul Hazizi dan libasan kencang Norhafizi membolehkan KL Thunder meninggalkan lawannya 12-10 sambil ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, meminta 'time-out' untuk merancang semula strategi.

Dua kesilapan mudah tekong kebangsaan, Hairul Hazizi, yang melakukan servis keluar gelanggang dan sangkut di jaring, menambahkan tekanan regunya dan membolehkan KL Thunder selesa mendahului 17-13.

Libasan gulung tekong, Aizat, hasil umpanan cantik Amirul Zazwan membolehkan KL Thunder menang 21-17.

Dalam set kedua,  ATM Guardians cuba bangkit dengan mendahului 3-0 melalui libasan Muhaimi, namun KL Thunder tidak mudah goyah untuk kembali menyamakan kedudukan melalui libasan kencang apit kanan kebangsaan,  Norhafizi.

Permainan semakin menarik apabila kedua-dua regu saling berkejaran mata sehinggalah variasi servis Hairul Hazizi membuka jurang 13-11 bagi menyalakan semula harapan ATM Guardians mengheret permainan ke set penentuan.

Muhaimi membuktikan dia makin  berbisa apabila tiga libasan kencangnya gagal dihalang pertahanan lawan untuk membolehkan ATM Guardians mendahului 19-14.

Libasan akhir apit kiri KL Thunder, Amirul, di angka penamat membolehkan ATM Guardians menang 21-14, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Skrip yang sama masih berlaku dalam set ketiga apabila kedua-dua regu enggan mengalah dan saling mengejar mata sehinggalah servis Aizat membuka jurang 10-6.

Servis kencang Aizat yang tersangkut di jaring membolehkan ATM Guardians mengejar 17-19 sambil ketua jurulatih KL Thunder  meminta 'time out'.

Kesilapan Norfaizul mengangkat bola melepasi jaring membolehkan Aizat melakukan libasan gulung, sekali gus menamatkan pejuangan ATM Guardians 21-18.

Tekong ATM Guardians, Hairul Hazizi, mengakui rezeki tidak berpihak kepada regunya biarpun telah memberikan yang terbaik untuk mengalahkan KL Thunder.

"Kami gagal menangani tekanan dengan baik dan saya mengaku tidak beraksi dengan baik, terutama dalam set pertama.

"Insya-Allah kami akan baiki segala kekurangan yang ada apabila kembali beraksi dalam Piala Juara-Juara," kata Hairul Hazizi.

Kekalahan ATM Guardians 2-1 kepada KL Thunder membolehkan Penang Black Panthers yang mudah mengalahkan Melaka Titans 2-0, menjuarai STL musim ini dengan 30 mata hasil daripada 15 kemenangan. 

ATM Guardians muncul naib juara dengan 28 mata manakala KL Thunder di tangga ketiga dengan 24 mata.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen