STL: Juara bertahan 'dibantu' ke separuh akhir

Oleh Shaiful Shamsudin 9 Disember 2016 97
STL: Juara bertahan 'dibantu' ke separuh akhir
Juara bertahan, ATM Guardians, menyambar slot terakhir ke separuh akhir Divisyen Perdana, Liga Sepak Takraw (STL) 2016 hasil bantuan Kedah Eagles dan Melaka Titans yang masing-masing menumpaskan Johor Tigris dan Kelantan Warriors, hari ini.

Semalam, hajat ATM tertangguh akibat dibenam pendahulu carta mata, Penang Panthers, 17-21, 17-21 tetapi dengan 12 mata selain kelebihan set dan mata tetap melayakkan mereka ke peringkat kalah mati walaupun berbaki satu perlawanan lagi. 

Kemenangan di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor hari ini gagal menghalang Titans daripada menjadi pasukan pertama yang disahkan tersingkir ke Divisyen Satu 2017 susulan kutipan mata mereka tidak mampu mengejar sekurang-kurangnya pasukan di tangga keenam.

Titans (Sahidan Ali, Amirul Asyraf Idris/Azwan Yahya dan Zarlizan Zakaria) tetap berjuang demi maruah negeri apabila menumpaskan Warriors (Khairul Hisham Yusoff/Hisyam Mat, Wan Naim Izani Noor dan Aidil Aiman Azwawi) 15-21, 21-15, 21-14 dalam tempoh 72 minit. 

Hanya Tigris yang boleh menghela nafas lega dengan keputusan itu untuk kekal dalam divisyen elit biarpun tumpas 15-21, 21-15, 14-21 kepada Eagles dalam tempoh 71 minit berdasarkan jurang perbezaan set kemenangan.  

Eagles (10 mata) dan Warriors (lapan mata) masih boleh bersaing untuk kekal menerusi perlawanan terakhir masing-masing menentang Guardians dan Terengganu Turtles, petang esok.  

Nazirul Akram Razali/Asrah Adenan, Shahrol Nizam Romli dan Zuleffendi Sumari terus menyalakan perjuangan Eagle, sekalipun Tigris (Haidzir Rashid, Norhaffizi Razak dan Lutfil Hadi Azmi) turut mahu meraih kemenangan demi slot separuh akhir.  

Eagles sudah tidak mampu merebut empat tempat teratas untuk ke peringkat kalah mati, namun agak bertuah dapat memungut dua mata gara-gara tumpuan Tigris yang terganggu dengan beberapa keputusan pengadil.

Sementara itu, Perak The Bos Gaurus hanya memberikan Negeri Sembilan The Jangs peluang menerajui carta mata Divisyen Satu dalam tempoh kurang 24 jam, sebelum mereka merampas semula status itu dengan menundukkan Jangs 21-19, 17-21, 21-16. 

Meor Zulfikar Mat Amin, Fadzil Mustafa dan Shohibul Fadillah Salam jelas bermandi peluh untuk memastikan dua mata buat Perak biarpun disaingi sengit Izuan Efendi Azlan, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Syazreenqamar Salehan selama 83 minit.

Pemburuan dua slot Divisyen Perdana 2017 kian getir dan mendebarkan apabila Bos Gaurus dan Jangs kini terikat 16 mata di samping Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Selangor yang turut mencapai kemenangan kelapan masing-masing.

Keputusan Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL) hari ini:

Kedah Eagles kalahkan Johor Tigris 2-1 (21-15, 15-21, 21-14)
Melaka Titans kalahkan Kelantan Warriors 2-1 (15-21, 21-15, 21-14)


Jadual Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL):

Sabtu: ATM Guardians lwn Kedah Eagles (4pm), Terengganu Turtles lwn Kelantan Warriors (5.30pm)
Ahad: Melaka Titans lwn Kuala Lumpur Thunder (4pm), Johor Tigris lwn Penang Black Panthers (5.30pm)
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen