STL: Johor Tigris berjaya balas dendam

Oleh Farizal Yusoff 2 November 2018 1659
 STL: Johor Tigris berjaya balas dendam
Hajat Kelantan Warriors untuk mengulangi kejayaan ke atas Johor Tigris lebur apabila tewas 0-2 (21-17, 25-23) dalam pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, malam ini.

Kelantan Warriors yang menurunkan tekong, Farid Aziz, pelibas, Naim Izani Noor, dan apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Zawawi, mendahului 5-1 untuk memberi tekanan kepada Johor Tigris.

Johor Tigris yang mengekalkan trio Azman Abdul Hamid, Noraizat Nordin dan kapten, Muqlis Borhan, cukup tenang mengawal keadaan dan mengatasi skuad Pantai Timur itu 20-15.

Libasan kencang Noraizat di mata akhir memberikan Johor Tigris lega memenangi set pertama 21-17.

Kelantan Warriors dalam set kedua melalui tekong, Farid cuba mempelbagaikan servis, namun Muqlis bijak mengawal gelanggang dan memberikan umpanan cantik kepada Noraizat untuk mendahului 11-7.

Servis tekong Johor Tigris, Azman, terus memberi masalah kepada pertahanan Kelantan Warriors untuk mendahului 19-13.

Kelantan Warriors membawa masuk apit kanan, Yuslie Jusoh, menggantikan Naim Izani dan berjaya memerangkap pertahanan Johor Tigris untuk mengikat mata 20-20.

Permainan menjadi semakin mendebarkan apabila kedua-dua regu saling terikat mata sehinggalah servis 'drop' Azman membawa Johor Tigris menang 25-23.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Rozlan Ismail, akur dengan kekalahan itu sambil menyifatkan servis Azman menjadi pemisah untuk Johor Tigris menang.

"Dia (Azman) cukup menjadi malam ini dan servisnya memerangkap pertahanan Kelantan Warriors.

"Lupakan kekalahan ini dan kami perlu bangkit semula memburu kemenangan menentang Melaka Titans petang esok," katanya.

Kekalahan malam ini menyaksikan Johor Tigris melonjak ke tangga keempat liga dengan 12 mata manakala Kelantan Warriors jatuh ke tangga keenam dengan 10 mata.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen