STL: Jamaluddin jelas dua faktor utama Johor Tigris gagal ke separuh akhir

Oleh Staff Writer 16 Disember 2016 8
STL: Jamaluddin jelas dua faktor utama Johor Tigris gagal ke separuh akhir
“Persediaan yang tidak mencukupi kerana pemain tinggal berjauhan menjadi faktor utama Johor Tigris gagal mencapai sasaran awal layak ke separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

“Selain itu, kegagalan kami menurunkan pemain utama menambahkan lagi masalah yang ada dan akibatnya kami gagal memberikan cabaran sengit kepada pasukan pilihan,” kata ketua jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan pasukannya mencapai sasaran awal untuk mara ke separuh akhir, sebaliknya bergelut untuk kekal dalam Divisyen Perdana STL musim depan.

Jamaluddin, yang juga bekas jurulatih kebangsaan, menggangap kualiti pemain Johor Tigris sama taraf dengan pasukan pilihan seperti Terengganu Turtles, Penang Panthers, Kuala Lumpur Thunder dan ATM Guardians yang mara ke separuh akhir STL, esok.

“Tidak ada masalah dari segi kualiti pemain. Apit kanan kami, Norhafizi Abdul Razak pernah dipilih sebagai Pemain Terbaik Mingguan STL dan Johor Tigris sentiasa memberikan aksi terbaik setiap kali menentang pasukan pilihan.

"Cuma bezanya, pasukan pilihan yang diwakili oleh pemain kebangsaan dapat berlatih bersama dan tidak menghadapi sebarang masalah komitmen pemain."

Jamaluddin berjanji Johor Tigris akan bangkit semula dengan lebih garang untuk menghadapi Divisyen Perdana STL musim depan.

“Maaf kepada semua penyokong Johor Tigris. Insya-Allah, kami akan buat persediaan yang lebih rapi dan muncul sebagai pencabar terkuat untuk STL musim hadapan,” katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen