Pencapaian lalu tidak boleh dijadikan sandaran. Justeru, pemain Perak Bison diharap tidak terlalu yakin apabila membuka kempen pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) bertemu Terengganu Turtles di Gem In Mall Cyberjaya, hari ini.

Bagi ketua jurulatih Perak, Ismi Hissan Ismail, sikap itu mampu memakan diri pemain jika dibiarkan menguasai diri.

Ismi membuat peringatan itu kerana bimbang anak buahnya memandang mudah perlawanan itu kerana pernah menumpaskan lawan dalam pusingan pertama.

Dalam perlawanan di Stadium MABA, 7 September lalu itu, Bison menang 2-1, 21-23, 21-15, 21-15.

"Lupakan kejayaan itu. Ini perlawanan baru. Terengganu sudah membuat perubahan terhadap pasukannya.

"Saya difahamkan mereka membawa masuk pemain muda untuk menghadapi baki kempen STL ini, " katanya.

Terengganu ketika ini menghuni tangga kedua dasar liga selepas hanya mengutip dua mata hasil satu kemenangan.

Perak bakal menghadapi jadual padat minggu ini kerana akan turun beraksi dalam tiga hari berturut-turut.

Perlawanan seterusnya ialah bertemu Negeri Sembilan Antlers, esok, diikuti PDRM Defenders pada Ahad ini.

Perak menang ke atas kedua-dua pencabar di Arena Spice, Pulau Pinang, pada minggu keempat untuk melonjak ke tangga ketiga.

Kempen minggu kelima dan keenam ini sepatutnya diadakan di Kota Bharu, Kelantan, tetapi terpaksa berpindah gelanggang berikutan negeri itu berkabung selama 40 hari kerana kemangkatan Sultan Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra.