Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, akur dengan kekalahan 2-0 anak buahnya di tangan ATM Guardians dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di Stadium Indera Mulia, malam tadi.

"ATM memang hebat. Mereka menampilkan perwatakan mantap.

"Kami tidak terdaya menyekat kemenangan mereka walaupun telah mencuba sedaya-upaya.

"Pemain saya telah bermain sebaik mungkin tetapi ATM tampil dengan mental dan fizikal yang kuat," kata Ismi selepas perlawanan.

Jurulatih itu juga mengakui Perak tertekan bermain di hadapan penyokong sendiri dengan menyedari tuntutan dan harapan tinggi hampir 4,000 penonton di dalam stadium.

Dalam perlawanan malam tadi, Bison tumbang 21-8, 21-12 dalam tempoh 52 minit.

Ismi berharap anak buahnya segera melupakan igauan buruk di tangan ATM itu dan bangkit untuk menghadapi Kuala Lumpur Thunder, malam ini.

"Lupakanlah kekalahan itu. Kita kena terima qada dan qadar serta ketentuan ilahi.

"Masih ada peluang lagi buat Bison. Cuma pemain perlu menang dalam baki perlawanan yang ada," katanya.