STL: Guardians tetap idam kejuaraan tapi hormati KL Thunders

Oleh Shaiful Shamsudin 24 Ogos 2020 1554
STL: Guardians tetap idam kejuaraan tapi hormati KL Thunders
Ketua jurulatih pasukan ATM Guardians , Aswadi Abdullah, optimis Hairul Hazizi Haidzir akan sempat pulih daripada kecederaan belakang yang telah membelenggu sejak dua tahun lalu.

Guardians, yang menamatkan saingan Liga Sepak Takraw (STL) lalu di tangga kedua selama dua tahun berturut-turut, merangka percaturan terbaik untuk menjulang kejuaraan menjelang saingan itu yang akan bermula 18 September depan. 

Menurutnya, biarpun kecederaan yang dialami tekong utama pasukan itu bukanlah sesuatu yang baru, ia tetap mencetuskan kegusaran kerana akan merencatkan persiapan yang telah dilakukan.

"Daripada maklumat yang saya dapat, dia ada mendapatkan rawatan.

"Kami masih menunggu keputusan doktor dan bagi kami, dia adalah tonggak utama," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Alice Harun, hari ini. 





Dalam pada itu, kehadiran bekas tekong negara, Syahir Rosdi, dan apit kanan, Azlan Alias, yang memperkuatkan pasukan Kuala Lumpur (KL) Thunders akan meletakkan mereka sebagai pasukan digeruni dalam edisi kali ini. 

Begitupun, Aswadi yakin pemainnya akan mempamerkan aksi terbaik. 

"Seperti yang kita tahu, Syahir Rosdi, merupakan antara tekong terbaik negara selain digandingkan dengan Azlan Alias. 

"Mungkin akan ada kejutan yang menyaksikan Kuala Lumpur Thunders memberikan satu saingan bagi posisi juara.

"Dua tahun sudah kami bergelar naib johan berturut-turut dan walaupun semua pasukan mengidamkan kejuaraan, tetapi  mungkin ini masa yang paling sesuai (untuk kami menjulang gelaran) dan mudah-mudahan kami boleh berikan segala-galanya dalam percubaan ketiga," katanya.  

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen