STL: Guardians pamer aksi menakjubkan

Oleh Azizan Hashim 26 Oktober 2019 2201
STL: Guardians pamer aksi menakjubkan
Semangat tuan rumah, Perak Bison, direntap ATM Guardians apabila tumpas 0-2 dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Dengan keputusan itu, persaingan untuk merebut gelaran kekal saingan tiga penjuru membabitkan juara bertahan, Penang Black Panthers, selain Bison dan Guardians. 

Dalam perlawanan terakhir hari kedua minggu ketujuh itu, pemain Bison beraksi di bawah kemampuan sebenar tatkala lawan mereka mempamer aksi menakjubkan untuk meraih kemenangan 21-8, 21-12.

Keberkesanan servis Hairul Hazizi Haidzir, yang dibantu rejaman kencang Afifuddin Razali, adalah faktor Bison terkulai layu dalam tempoh 53 minit.

Trio itu jelas tidak terjejas dengan gangguan dan provoksi  hampir 4,000 penyokong tuan rumah yang memenuhi stadium tertutup itu.

Mereka pasti pulang kehampaan kerana impian menyaksikan perlawanan hebat dan sengit tidak menjadi kenyataan kerana Bison tidak terdaya menandingi kehebatan lawan.

Memang segala-galanya tidak menjadi buat Bison walaupun menurunkan tekong utama, Natthawut Naewprom, untuk bergandingan dengan Asyraaf Hadi dan Amirul Ramadhan, yang kemudian digantikan dengan Azwan Muhrim dan Fadhil Mustapa dalam set kedua. 
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen